KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan mengkaji semula cadangan penubuhan jawatankuasa pengurusan bagi menyelia perancangan, pembangunan dan pengurusan hilir Sungai Kinabatangan secara berkesan bagi menjadikan kawasan itu sebagai destinasi eko-pelancongan yang berdaya saing dan mampan.
Menterinya, Datuk Christina Liew menegaskan sudah tiba masanya untuk bergerak ke arah merealisasikan jawatankuasa yang terdiri dalam kalangan semua pihak berkepentingan bagi hilir Sungai Kinabatangan.
“Tiada lagi cadangan pada peringkat ini dan tiba masa untuk kita melaksanakan perancangan sebelumnya, tempoh masa panjang sudah diambil sejak persidangan antarabangsa mengenai pertumbuhan dan amalan mapan pada 2019.
“Jawatankuasa pengurusan membabitkan pelbagai pihak perlu dilaksanakan sekarang bagi menjadikan hilir Sungai Kinabatangan sebagai destinasi eko-pelancongan lestari,” katanya semasa menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Pengusaha Pelancongan Kinabatangan-Corridor of Life, Sabah (KiTA) yang diketuai oleh Presidennya Alex Yee.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian I Mary Malangking, Pengarah Urusan Borneo Eco Tours Albert Teo dan Koordinator Eksekutif KiTA Aileen Mae Montero.
Christina berkata secara global, kerajaan dan pemain pelancongan memberi penekanan kepada industri pelancongan yang mampan dan bertanggungjawab dan Sabah tidak terkecuali dengan usaha ini.
Katanya, pelaksanaan ini perlu dilakukan segera berikutan rangka kerja dan garis panduan untuk pembangunan serta operasi eko-pelancongan mampan di hilir Sungai Kinabatangan sudah disediakan.
Dalam pada itu Yee dan Profesor Dr Jennifer Chan yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo (BTRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi taklimat kepada Christina mengenai kerjasama antara BTRC dan KiTA untuk meneroka potensi yang ada di Kinabatangan sebagai kompetitif dan destinasi eko-pelancongan mampan dibawah Memorandum Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2017.
Projek penyelidikan untuk mengumpul data daripada pelancong, pengusaha pelancongan dan masyarakat tempatan sudah disiapkan pada tahun 2019 dan buku yang memenangi anugerah bertajuk ‘Destinasi Eko-pelancongan Lestari Berdaya saing Perdana Kinabatangan’ diterbitkan di UMS pada 2020 dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Menyifatkan hilir Sungai Kinabatangan sebagai destinasi perintis di Malaysia untuk projek penyelidikan itu Chan berkata, buku yang berguna kepada pihak berkepentingan pelancongan mempamerkan pembangunan destinasi mampan dengan menyediakan pengetahuan penting, garis panduan, amalan dan rangka kerja kemampanan dalam industri pelancongan.
Tambahnya, sokongan kementerian juga menunjukkan komitmen untuk menerajui pertumbuhan hijau dan mampan di hilir Sungai Kinabatangan sebagai destinasi eko-pelancongan yang mampan.
Dalam pertemuan itu, Yee turut memperkenalkan Pengerusi Pelancongan Hidupan Liar Australia, Dr Ronda Green kepada Christina selain memaklumkan mengenai kerjasama antara KiTA dan Pelancongan Hidupan Liar Australia.