
KUCHING: Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau akan menggunakan sebaiknya kapasitinya sebagai Menteri Kerja Raya untuk membantu menyediakan jaringan jalan raya kepada penduduk di pedalaman Sarawak.
"Memandangkan saya dalam kementerian ini, saya dinasihatkan Premier dan Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk melihat apa yang kita dapat buat untuk membawa peruntukan persekutuan untuk membantu menyediakan jaringan jalan ke pedalaman Sarawak.
"Jadi, sebaik saya masuk dalam kementerian ini, saya melihat keperluan untuk membina jalan untuk penduduk di pedalaman Sarawak, bukan sahaja untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi, tetapi lebih penting jalan ini menjadi pemangkin kepada sosioekonomi di kawasan tersebut," katanya dalam temu bual khas salah sebuah kafe di sini, hari ini.
Tambah Nanta, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak tidak melalui bahagian Kapit, tetapi keperluan akses perlu ada bagi penduduk di kawasan itu.
Sebab itu katanya, beliau mengambil inisiatif bulan Mac lepas menghantar pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR) ke Kapit kerana terdapat keperluan untuk membina laluan baharu ke Kapit.
Katanya, jalan sedia ada yang telah siap ke Kapit adalah jalan negeri dan dengan siapnya jalan itu telah menyebabkan semua rumah panjang di seberang Batang Rajang terputus perhubungan kerana perkhidmatan bot ekspres tidak lagi beroperasi.
Tanpa bot ekspres katanya, penduduk sukar untuk keluar dan terpaksa menggunakan perahu kecil untuk merentasi Batang Rajang ke Pekan Kapit dan lain-lain kawasan menggunakan pengangkutan darat.
"Sebab itu sekarang saya hantar pasukan cuba untuk menghubungkan dari Semaram kerana sudah ada Pan Borneo dan Jambatan Durin sehingga Nanga Tandak.
"Saya juga mencadangkan jalan itu dipanjangkan untuk menghubungkan penduduk antaranya di Sg Iran, Sg Song, Sg Manap, Sg Lejau, Sg Melipis, Sg Meluan.
"Di Song kita cadang bina jambatan merentasi Batang Rajang dan juga di Ng Menuan dan satu lagi jambatan di Kapit," katanya.
Mengenai kesesakan di Kapit semasa cuti perayaan Gawai yang lepas, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit mengakui berlaku kesesakan pada waktu tersebut.
"Untuk perkara ini, kita sudah ada perancangan untuk membina laluan baharu ke Kapit bagi meringan kesesakan di lampu isyarat di Sg Kapit.
"Sekarang laluan menuju ke Pekan Kapit adalah sehala, jadi akan ada satu lagi laluan masuk dibina di Kapit," katanya.