Anda di sini

Lelaki dijumpai mati di Medan Jaya, seorang ditangkap untuk bantu siasatan 

Advertisement
 

BINTULU: Seorang lelaki warga tempatan berumur 57 tahun ditahan untuk membantu siasatan susulan penemuan seorang lelaki terbaring berlumuran darah yang telah meninggal dunia di kawasan lot parkir berdekatan tong pembuangan sampah di Medan Jaya di sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Batholomew Umpit (gambar) berkata, suspek ditahan sekitar jam 11.30 malam Rabu di sebuah taman perumahan berdekatan.

"Permohonan reman di Mahkamah Majistret Bintulu telah diperolehi dan peringkat awal suspek direman lima hari sehingga 13 Jun ini untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Katanya, motif kejadian tersebut masih dalam siasatan polis.

Terdahulu katanya, pada jam 8.27 malam Rabu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu telah menerima panggilan dari orang awam yang ternampak seorang lelaki terbaring berlumuran darah di kawasan terbabit.

Katanya, hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati lelaki yang terbaring itu lengkap berpakaian baju t hitam dan berseluar jeans pendek dalam keadaan berlumuran darah serta terdapat kesan kecederaan di kepala bahagian kiri, beberapa kesan lebam di bahagian badan, kaki dan tangan.

"Mangsa dijumpai berhampiran dengan sebuah kenderaan (di lot parkir tersebut) dan pemeriksaan lanjut di tempat kejadian turut menjumpai tiga batang kayu berhampiran mangsa," jelasnya.

Beliau berkata, mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan dan dokumen pengenalan diri turut ditemukan pada mayat mangsa (mangsa didapati telah meninggal dunia).

Justeru katanya, sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Tay Chiew Thwa @ Rico Tay di talian 011-11403689 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 083-318304.
 

  • oleh
  • Advertisement