Anda di sini

JPJ Sabah tingkat penguatkuasaan tahun ini

Advertisement

PERIKSA: Romie ketika turun padang menjalankan pemeriksaan dalam operasi tersebut.

TAWAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan meningkatkan tahap penguatkuasaan tahun ini dan bertindak tegas terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.

Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Romie Matalip berkata, operasi dan penguatkuasaan dilaksanakan lebih giat di negeri ini bagi mengambil tindakan tegas kepada pesalah jalan raya.

Katanya, fokus utama operasi adalah membendung masalah pengguna jalan raya yang tidak memiliki lesen memandu.

“Tahun ini telah diisytihar sebagai tahun penguatkuasaan JPJ Malaysia dan kita di Sabah juga turut tidak ketinggalan untuk menyahut saranan tersebut.

“Justeru, JPJ Sabah akan mengambil pendekatan untuk menjalankan operasi bersepadu bersama rakan strategik di seluruh negeri bermula di daerah Tawau,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Sabah berkata demikian ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu, di Jalan Kuhara, di sini, semalam.

Turut hadir dalam operasi tersebut adalah pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Menurutnya, JPJ Sabah akan bertindak tegas termasuk menyita kenderaan sekiranya pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah.

 Antara warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
TANGKAP: Antara warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Romie berkata, operasi itu juga dibuat supaya membudayakan pemanduan berhemat dan pematuhan undang-udang lalu lintas kepada semua pengguna terutamanya di daerah ini.

“JPJ Sabah komited untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan raya melalui kolaboratif dengan rakan strategik di negeri ini.

“Selain itu, kita mahu membudayakan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang lalu lintas kepada semua pengguna di daerah ini.

Dalam pada itu, Romie berkata, setakat satu jam lebih operasi ini dilaksanakan, sebanyak 280 buah kenderaan sudah diperiksa.

“Sebanyak 42 orang pemandu telah diambil tindakan atas kesalahan lesen memandu, lesen GDL (Goods Driver License), lesen LKM, pelindungan insuran dan nombor pendaftaran kenderaan.

“Manakala notis kompaun pula sebanyak 62 keping dikeluarkan termasuk enam notis penahanan kenderaan (sita),” katanya.

Sementara itu, Romie berkata, seramai lapan tangkapan dibuat oleh JIM Tawau atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

  • oleh
  • Advertisement