Anda di sini

GPS teguh di belakang Kerajaan Perpaduan, tidak akan terlibat dalam usaha jatuhkan kerajaan sedia ada: Nanta

Advertisement
Nanta bercakap kepada pemberita pada temu bual khas di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Nanta bercakap kepada pemberita pada temu bual khas di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdiri teguh di belakang Kerajaan Perpaduan dan tidak akan terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. 

Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, terdapat khabar angin mengenai usaha berterusan pembangkang untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan. 

Namun demikian kata Nanta, sama ada kerajaan boleh tumbang atau tidak, melihat kepada jumlah yang ada sekarang, sukar untuk mana-mana gabungan meneruskan usaha itu. 

"Kerajaan Perpaduan ada 148 kerusi, (Pakatan) Harapan sahaja sudah ada 82 kerusi dan saya rasa usaha itu tidak dapat (menjatuhkan kerajaan), melainkan semua rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan keluar dari gabungan. 

"Tidak semua rakan gabungan ini mahu keluar daripada kerajaan. Saya boleh bercakap bagi GPS. GPS tidak akan berbuat demikian kerana GPS konsisten dalam satu perkara, kita mahu kerajaan yang stabil dan dapat meneruskan rancangan pemulihan ekonomi negara. 

"Itu penting bagi kita," kata Nanta yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kapit pada temu bual khas salah sebuah kafe di sini, hari ini. 

Tambah Nanta lagi, terlalu banyak berpolitik adalah tidak bagus untuk negara, justeru GPS yang beliau tahu sangat konsisten dengan pendiriannya. 

Sebab itu katanya, sejak dari awal GPS memutuskan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) meskipun semasa pilihan raya umum, PH mahu menumpaskan GPS. 

"Apabila kita sedar, kita perlu bekerjasama demi kestabilan kerajaan, kita mahu membentuk kerajaan yang menjaminkan kestabilan, jadi itu yang konsisten mengenai GPS," katanya. 

GPS menurut Nanta lagi, sangat proaktif dan agresif dalam membangunkan Sarawak yang dipimpin Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Dan katanya, GPS sedar untuk berjaya GPS memerlukan kerajaan persekutuan yang stabil bagi meneruskan agenda pembangunannya. 

Kata Nanta lagi, GPS juga tidak ada isu untuk bekerja dengan parti komponen PH seperti DAP di bawah Kerajaan Perpaduan. 

Ini kerana katanya, GPS bukan komponen PH, tetapi hanya rakan gabungan bagi Kerajaan Perpaduan yang mana adalah berbeza. 

"Sebab itu GPS, saya boleh kata tidak ada isu bekerja dengan DAP demi kebaikan negara. 
"Dari segi politik apabila tiba pilihan raya, ya kita berlawan. Sebab itu DAP bukan sebahagian daripada kerajaan di Sarawak," katanya. 

Mengenai pilihan raya negeri yang bakal berlangsung di enam negeri di Semenanjung Malaysia, Nanta berkata GPS tidak terlibat dalam aktiviti kempen di enam negeri terbabit kerana GPS adalah gabungan kerajaan persekutuan, bukannya mana-mana parti di Semenanjung Malaysia. 

Beliau sendiri katanya, mungkin hanya akan berkempen dalam kapasitinya sebagai Menteri Kerja Raya jika ada program melibatkan kementeriannya. 

"Jika kepimpinan parti kata hendak bantu, kita boleh bantu, tidak salah. Tetapi setakat yang saya tah,u tiada apa-apa diputuskan untuk GPS turun membantu dalam kempen itu nanti," kata Nanta. 

Mengenai rombakan kabinet di peringkat persekutuan, Nanta berkata ia adalah prerogatif Perdana Menteri. 

Namun tegasnya, setahu beliau tiada rombakan akan berlaku dalam masa terdekat dan jika Perdana Menteri mahu membuat rombakan, itu prerogatif Perdana Menteri.
 

  • oleh
  • Advertisement