MIRI: Sebanyak 12 lampu limpah berkapasiti tinggi di beberapa persimpangan jalan di kawasan Piasau Jaya siap dipasang untuk kemudahan pengguna jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii berkata, lampu limpah yang setiap satunya setinggi 10 meter itu telah dimulakan pelaksanaannya pada 1 Mac lalu.
“Pemasangan lampu jalan yang baharu ini berfungsi dengan baik dan membantu memastikan penduduk dapat melakukan perjalanan pada malam hari dengan cahaya yang cukup.
“Lampu jalan baharu yang selesai dipasang ini turut meningkatkan keselamatan lalu lintas di sekitar Piasau Jaya dan menyediakan kemudahan yang lebih aman dan selesa bagi penduduk sekitar,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Adam pada Jumaat menghadiri upacara serah terima projek tersebut bersama-sama dengan Ahli Majlis Bandaraya Miri Vincent Huang dan Penghulu Samion Gani.
Dalam pada itu, Samion merakamkan penghargaan terima kasih terhadap usaha berterusan Adam dalam memenuhi janji-janji dan secara beransur-ansur meningkatkan kemudahan asas komuniti selepas dipilih sebagai ADUN Pujut.
“Adam sentiasa memberi maklum balas terhadap keperluan rakyat yang mana selagi berupaya, beliau bertindak dengan segera, ikhlas dan aktif melayani masyarakat.
“Kesungguhannya dalam melayani permintaan rakyat dibuktikan melalui peningkatan kemudahan asas dalam kawasan Pujut, Piasau dan Krokop,” ujarnya.
Selain itu, Adam turut menaik taraf balai raya di Kampung Baru Pujut 7 dan upacara serah terima projek itu juga diadakan pada Jumaat.
Projek ini melibatkan menambah baik siling, tingkap, pintu, dapur, bilik mandi, tikar dan kerusi di balai raya komuniti berkenaan selain memperbaiki jalan bersebelahan.
Balai raya yang dibaik pulih ini kini menyediakan ruang yang lebih selesa bagi penduduk untuk mengadakan aktiviti, perhimpunan dan sambutan perayaan.