Anda di sini

Ukraine pindah ribuan penduduk selepas empangan utama musnah

Advertisement
 Gambar serahan syarikat milik kerajaan Ukrhydroenergo menunjukkan empangan hidroelektrik yang musnah dalam serangan di Nova Kakhovka, dekat Kherson kelmarin. — Gambar AFP
BENCANA: Gambar serahan syarikat milik kerajaan Ukrhydroenergo menunjukkan empangan hidroelektrik yang musnah dalam serangan di Nova Kakhovka, dekat Kherson kelmarin. — Gambar AFP

KHERSON: Serangan ke atas empangan utama yang ditawan Rusia di selatan Ukraine kelmarin telah menyebabkan air deras membanjiri berpuluh-puluh kampung dan memaksa 17,000 orang dipindahkan, mencetuskan kebimbangan bahawa akan berlakunya bencana kemanusiaan.

Washington memberi amaran “kemungkinan banyak kematian” akan berlaku tatkala Moscow dan Kyiv saling menunding jari kepada satu sama lain kerana merobek lubang yang kini ternganga di empangan Kakhovka, yang terletak di barisan hadapan dan menyediakan air penyejuk untuk loji nuklear terbesar di Eropah.

Kyiv berkata pemusnahan empangan, yang dirampas oleh Rusia pada awal perang, ialah percubaan Moscow untuk menghalang serangannya yang telah lama dirancang, dan pemimpin Ukraine menekankan bahawa rancangan tersebut tidak akan terjejas.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa ratusan ribu orang boleh terjejas di kedua-dua belah barisan hadapan.

Orang ramai di Kherson, pusat penduduk terbesar berdekatan, melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi apabila air mencurah ke Sungai Dnipro.

“Sebelum ini penembakan, sekarang banjir,” kata Lyudmyla, yang memuatkan mesin basuh ke dalam troli yang dipasang pada kereta Soviet lamanya.

“Semuanya akan mati di sini,” tambah Sergiy ketika air dari empangan mencurah ke bandar, yang menjadi tempat pertempuran besar pada 2022.

Pihak berkuasa Ukraine berkata 17,000 orang sedang dipindahkan dan sejumlah 24 kampung telah dinaiki air.

“Lebih 40,000 orang berada dalam ancaman banjir,” kata Ketua Pendakwa raya Andriy Kostin, sambil menambah bahawa 25,000 lagi orang harus dipindahkan di sebelah Sungai Dnipro yang diduduki Rusia.

Vladimir Leontyev, Datuk Bandar Nova Kakhovka, lokasi empangan itu, berkata bandar itu berada di bawah air dan beratus-ratus orang telah dipindahkan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menuduh Rusia meletupkan empangan itu dan pihak berkuasa menjangkakan bahawa sehingga 80 penempatan akan ditenggelami air, menggesa dunia untuk “bertindak balas”.

Kyiv juga menggesa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB dan memberi amaran tentang kebarangkalian “ekosid” selepas 150 tan minyak enjin tumpah ke dalam sungai.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata kemusnahan itu merupakan hasil sabotaj yang disengajakan oleh pihak Ukraine.

Empangan era Soviet demikian dibina pada tahun 1950-an, terletak di Sungai Dnipro, yang menyediakan air penyejuk untuk loji kuasa nuklear Zaporizhzhia yang diduduki Rusia yang terletak sekitar 150 kilometer jauhnya.

Moscow dan Kyiv memberi versi bercanggah tentang keselamatan kemudahan itu.

Pengarah loji yang dilantik Rusia, Yuri Chernichuk, berkata paras air di kolam penyejuk tidak berubah dan pada masa ini, tiada ancaman keselamatan terhadap loji kuasa nuklear Zaporizhzhia.

Tetapi Ukraine, yang pada tahun 1986 mengalami bencana nuklear Chernobyl yang dahsyat, memberi amaran.

“Dunia sekali lagi berada di ambang bencana nuklear, apabila loji kuasa nuklear Zaporizhzhia kehilangan sumber penyejukannya. Dan sekarang ancaman meningkat pantas,” kata pembantu Zelensky, Mykhaylo Podolyak.

Pengendali nuklear Ukraine, Energoatom, berkata paras air takungan Kakhovka menurun dengan cepat, yang merupakan ancaman tambahan kepada loji kuasa nuklear Zaporizhzhia yang diduduki.

Agensi kemanusiaan PBB berkata ia bimbang tentang kesan kemanusiaan yang teruk ke atas ratusan ribu orang di kedua-dua belah barisan hadapan.

“Banjir dan air yang bergerak pantas boleh memindahkan lombong dan bahan letupan ke kawasan baharu yang sebelum ini selamat, sekali gus meletakkan lebih ramai orang dalam bahaya,” tambahnya.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menulis di Twitter bahawa Kesatuan Eropah (EU) telah menjanjikan bantuan yang diperlukan dan bantuan kemanusiaan untuk mengurangkan beban bencana buatan Rusia ini. — AFP

Advertisement