Anda di sini

SPRM harap peroleh lebih banyak rampasan selepas prosiding rasuah air Sabah selesai

Advertisement
 Azam semasa mengadakan sidang media selepas majlis terbabit.
SIDANG MEDIA: Azam semasa mengadakan sidang media selepas majlis terbabit.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengharap agar lebih banyak dana yang dirampas semasa siasatan rasuah Jabatan Air di Sabah sejak 2016 dapat dikembalikan sebaik prosiding mahkamah selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya dari semasa ke semasa menyalurkan maklumat terkini berkenaan siasatan dan hasil perbicaraan mahkamah berkenaan isu yang sedang dijalankan.

“Dari segi perbicaraan, lebih RM53 juta sudah dikemukakan sebagai bukti dan kita akan meminta rampasan berkenaan untuk dikembalikan kepada kerajaan.

"Sesetengah pihak mungkin mendakwa wang itu belum dipulangkan dan boleh jadi mereka tidak nampak bagaimana wang itu dipulangkan.

“Sekiranya terdapat maklumat baharu yang masih belum kita temui, ia akan disiasat melalui kaedah berbeza.

“Pada masa ini, kita telah memulakan proses pelucuthakan sebelum perbicaraan dan kita akan menunggu keputusan sebaik sahaja perbicaraan selesai,” katanya semasa sidang media pada Majlis penutupan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023 di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Turut hadir Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Mansor dan Ketua SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy.

Beliau berkata setakat ini SPRM sudah memulangkan kira-kira RM40 juta kepada kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dalam satu sesi bersama pelajar di UMS menyatakan beliau akan mengarahkan SPRM mendapatkan semula dana dan memberi penjelasan berhubung wang yang terlibat dalam kes rasuah air.

Perbicaraan rasuah air Sabah dijangka disambung semula antara 20 dan 22 Jun.

Sementara itu, bercakap mengenai pelantikan pengarah Jabatan Air Sabah yang baharu,  Suhaimi Asbullah, Azam menjelaskan SPRM hanya boleh memberikan pendapat bagaimanapun keputusan untuk menentukan jawatan itu terletak pada kerajaan Sabah sendiri.

Tambahnya beliau percaya kerajaan negeri sudah meneliti dan menjalankan usaha sewajarnya walaupun Suhaimi pernah terbabit dalam perbicaraan rasuah air Sabah sebelum ini.

Suhaimi yang juga bekas jurutera air bahagian Beaufort memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah di Mahkamah Khas Rasuah baru-baru ini dengan pengakuan dia menerima wang tunai sebanyak RM1.6 juta daripada skim kutipan caruman.

Beliau bagaimanapun berkata secara sukarela dia sudah menyerahkan wang itu kepada SPRM pada 2016.

Dalam pada itu Azam juga memberi jaminan SPRM akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah untuk memastikan peruntukan persekutuan RM320 juta yang diumumkan baru-baru ini untuk menangani isu air jangka pendek di Sabah akan dibelanjakan sewajarnya.

  • oleh
  • Advertisement