Anda di sini

Sabah catat peningkatan keputusan SPM 2022

Advertisement
 Zaini (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama Arief Syafiq (tiga kanan) selepas menerima sijil penghargaan pelajar cemerlang SPM 2022.
CEMERLANG: Zaini (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama Arief Syafiq (tiga kanan) selepas menerima sijil penghargaan pelajar cemerlang SPM 2022.

KOTA KINABALU: Pencapaian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah merekodkan peningkatan 0.13 mata Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 5.22 berbanding 5.35 pada 2021.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mohd Zaini Yanin berkata, daripada 34,461 calon SPM 2022, seramai 344 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan pencapaian gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran.

Katanya, Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah memperoleh pencapaian sebagai sekolah terbaik diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu, SMKA Tun Ahmadshah Kota Kinabalu, SM Sains Lahad Datu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael Penampang, dan Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Marakau Ranau.

Menurutnya, SMK Perempuan Sandakan, SMKA Tun Juhar Sandakan, SM Islamiah Tawau, dan SMK St. Patrick Tawau turut disenaraikan sebagai sekolah terbaik SPM 2022.

Beliau berkata, sebanyak 18 sekolah di negeri ini mencapai 100 peratus layak mendapat sijil SPM 2022 antaranya SMK St. Patrick Beaufort, SMK Beluran II, SMKA Keningau, SMKA Tun Said Kota Belud, SMKA Kota Kinabalu, SMKA Tun Ahmadshah, SMK Perempuan Kota Kinabalu, SMK Matunggong Kudat, SM Sains Lahad Datu dan SMKA Kimanis Papar.

Jelasnya, turut mencapai 100 peratus layak mendapat sijil SPM 2022 adalah SMKA Tun Datu Mustapha Limauan Papar, SMKA Mohd Ali Ranau, SMK Timbua Ranau, SMA Al-Irsyadiah Marakau Ranau, SMKA Tun Juhar Sandakan, SMKA Tun Sakaran Semporna, SMK Desa Wawasan Tambunan, dan SM Islamiah Tawau.

"SMK Perempuan Kota Kinabalu memperoleh pencapaian sekolah lonjakan terbaik bagi sekolah di bandar dengan perbezaan jurang pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.14 mata daripada 5.31 kepada 4.14 mata.

"Bagi sekolah di luar bandar, SMK Sepulot Nabawan merekodkan pencapaian sekolah lonjakan terbaik dengan 1.14 mata perbezaan daripada 6.45 kepada 5.31 mata," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Raisin Saidin pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 12,026 calon iaitu 34.9 peratus memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran berbanding 12,385 (35.96 peratus) pada 2021. 

Selain itu katanya, GPN bagi jurang pencapaian calon SPM 2022 antara bandar dan luar bandar semakin melebar iaitu 0.61 mata berbanding SPM 2021 iaitu 0.53 mata.

Pada majlis itu, calon SPM dari SMKA Kota Kinabalu Arief Syafiq Ajie Prasastie berjaya memperoleh keputusan cemerlang bagi Kategori A dengan pencapaian 12A iaitu 8A+, 3A dan 1A-.

"Bagi Kategori B, seramai lima calon SPM dari SM Islamiah Tawau mendahului senarai teratas pelajar cemerlang iaitu Danish Shahrin Mohd Hussin (10 A+, 1A), Nur Damia Hasanuddin (9A+, 2A), Nur Faziratul Ain Kasim (8A+, 3A), Nurhazimah Hamzah (8A+, 3A), dan Farzana Nur Haziyah Daud (8A+, 2A, 1A-).

"Pelajar cemerlang bagi Kategori C termasuk Dennis Nwanevu Chong Ochular dari SMK Tinggi Kota Kinabalu (9A+, 1A), Caleb Liew Kah Lok dari SMK Sung Siew Sandakan (9A+, 1A), Syahirul Shazwan Sadik Batcha dari SM Maktab Sabah (8A+, 2A), Sen Ker Xin dari SMK Tinggi Kota Kinabalu (8A+, 1A, 1A-), dan Meisha Gayle Baskaran dari SMK St. Michael Penampang (8A+, 1A, 1B+)," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement