Anda di sini

Putera Harry dakwa pencerobohan media ‘musnahkan’ kehidupannya

Advertisement


Dakwaan itu dibuat ketika beliau memberikan keterangan di mahkamah

 Putera Harry tiba untuk memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di tengah London kelmarin. — Gambar AFP
TAMPIL: Putera Harry tiba untuk memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di tengah London kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Putera Harry kelmarin memberi keterangan bahawa beliau telah menderitai “pencerobohan media” sepanjang hayat dan menegaskan beberapa media bertanggungjawab atas kematian dalam tangan mereka, ketika beliau menjadi kerabat diraja British pertama yang memberikan keterangan di mahkamah dalam lebih 100 tahun.

Putera bongsu Raja Charles III itu menuduh Mirror Group Newspapers (MGN) telah mengumpul maklumat haram, termasuk menggodam telefon.

Dalam penampilan yang sangat dinanti-nantikan di kandang saksi di Mahkamah Tinggi London, Harry meluahkan beliau telah menjadi mangsa pencerobohan media yang tidak henti-henti dan menyusahkan sebahagian besar hidupnya sehingga hari ini.

“Berapa banyak lagi darah akan mengotorkan jari mereka yang menaip sebelum seseorang dapat menghentikan kegilaan ini,” tambah putera berusia 38 tahun itu dalam kenyataan saksi yang panjang lebar.

“Kami sama ada ‘putera jalang’, ‘kegagalan’, ‘tercicir’ atau, dalam kes saya, ‘bodoh’, ‘pencurang’, ‘pemabuk bawah umur’, ‘pengambil dadah yang tidak bertanggungjawab’, dan senarai itu masih panjang.

“Sebagai seorang remaja dan pada awal 20-an, saya berasa seolah-olah saya menjadi banyak tajuk utama dan stereotaip yang mereka mahu sematkan kepada saya... Ia lingkaran ke bawah,” katanya, mengimbau bahawa laporan demikian “sangat keji”.

Kes itu ialah pertempuran mahkamah terbaru Harry dengan akhbar sejak beliau berundur daripada tugas diraja pada awal 2020 dan berpindah ke California bersama isterinya dari Amerika, Meghan.

Kali ini tertumpu kepada dakwaan bahawa tabloid MGN melanggar undang-undang untuk mendapatkan cerita tentang Harry dan penuntut lain, termasuk dua pelakon sinetron televisyen dan bekas isteri seorang pelawak.

Kumpulan pendakwaan Harry telah mengemukakan bahawa aktiviti haram berlaku pada “skala industri” dari penerbit dan telah diluluskan oleh eksekutif kanan.

Pada permulaan perbicaraan pada 10 Mei, MGN memohon maaf dan mengakui “beberapa bukti” pengumpulan maklumat yang menyalahi undang-undang, termasuk untuk cerita tentang Harry.

Dengan memakai sut gelap dan bertali leher, Duke of Sussex mula memberikan keterangan sejurus selepas 9.30 pagi waktu tempatan, bersumpah atas Alkitab.

Beliau kekal di kandang saksi sepanjang hari pertama daripada dua hari kesaksian yang dijadualkan, dengan mahkamah menangguhkan kira-kira tujuh jam selepas beberapa kali rehat.

Harry disoal mengenai pelbagai aspek daripada 33 cerita tabloid yang sedang dipertimbangkan, meliputi segala-galanya daripada bekas teman wanita hinggalah hubungan keluarga diraja.

Dalam pemfailan mahkamah yang didedahkan pada April, Harry mendakwa keluarga diraja sebagai sebuah institusi yang telah memeterai “perjanjian rahsia” dengan seorang penerbit United Kingdom dan itu telah menghalangnya daripada menyaman, bagi mengelakkan seorang kerabat diraja memasuki kandang saksi.

Beliau juga mendakwa keluarga diraja itu mahu menghalang pembukaan “Kotak Pandora” tentang liputan negatif yang boleh mencemarkan jenama diraja.

Walaupun keluarga diraja biasanya berhati-hati untuk tidak menyentuh politik, Harry kelmarin mengecam kerajaan.

“Pada peringkat nasional, ketika ini, negara kita dinilai secara global oleh keadaan media kita dan kerajaan kita, yang kedua-duanya saya percaya berada di kedudukan paling bawah,” katanya dalam kenyataan saksinya.

“Demokrasi gagal apabila akhbar anda gagal meneliti dan mempertanggungjawabkan kerajaan, dan sebaliknya memilih untuk menyokong bersama mereka supaya mereka dapat memastikan status quo.”

Kali terakhir seorang kerabat diraja memberikan keterangan di mahkamah adalah pada 1890-an apabila bakal raja Edward VII membuat kenyataan dalam perbicaraan fitnah. — AFP 

Advertisement