Anda di sini

Pemandu lori rogol kanak-kanak, dipenjara 15 tahun, lima sebatan

Advertisement
 Tertuduh diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan di Mahkamah Sesyen, di sini.
ROGOL: Tertuduh diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan di Mahkamah Sesyen, di sini.

TAWAU: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan terhadap seorang pemandu lori selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak berumur 14 tahun sehingga melahirkan bayi perempuan, 13 Mac lalu.

Tertuduh berumur 25 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad dan dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak berumur 14 tahun ketika kejadian di dalam bilik tidur di Bandar Sri Indah, di sini, antara 2 hingga 3 pagi, pada Julai hingga Ogos tahun lalu.

Tertuduh juga mempunyai talian persaudaraan iaitu sepupu kepada ibu mangsa dan tinggal sebumbung di rumah neneknya.  

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh selepas mengambil faktor kepentingan awam dan tahap keseriusan kes.

“Tertuduh wajar diberi hukuman berat sebagai pengajaran, selain faktor trauma dialami mangsa selepas dirogol beberapa kali sehingga melahirkan bayi,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan lima kali sebatan berkuatkuasa tarikh tangkapan pada 15 Mac lalu.

Terdahulu, mangsa dibawa ke hospital oleh neneknya selepas mengadu sakit perut pada 13 Mac lalu dan pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak terbabit mengandung 36 minggu sebelum selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 7.15 malam hari yang sama.

Perbuatan terkutuk tertuduh terbongkar selepas mangsa mendedahkan dia dirogol beberapa kali di salah satu bilik tidur di rumah neneknya, sebelum tertuduh ditangkap pada 15 Mac lalu.

  • oleh
  • Advertisement