Anda di sini

Mohamad hadir mesyuarat Global Coalition to Defeat ISIS/Da’esh

Advertisement
 Mohamad (tengah) disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah (kiri) dan Timbalan Ketua Protokol, Kementerian Luar Negeri Arab Saudi  Dr. Hussain Salama setibanya di Riyadh.
SAMBUTAN: Mohamad (tengah) disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah (kiri) dan Timbalan Ketua Protokol, Kementerian Luar Negeri Arab Saudi Dr. Hussain Salama setibanya di Riyadh.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menghadiri Mesyuarat Global Coalition to Defeat ISIS/Da’esh di Riyadh, Arab Saudi, bermula kelmarin.

Beliau mewakili Menteri Luar Negeri, Dato Seri Zambry Abdul Kadir dengan diiringi pegawai-pegawai kementerian.

Untuk rekod, Global Coalition to Defeat ISIS/Da’esh ditubuhkan pada September 2014 susulan kegusaran terhadap aktiviti Da'esh serta ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Mesyuarat peringkat menteri edisi kesepuluh itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al- Saud dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony J. Blinken.

Ia bertujuan memperkukuhkan komitmen negara-negara anggota pakatan bagi menentang Da’esh dalam segenap aspek, melumpuhkan rangkaiannya serta mengekang penularan pengaruh kumpulan pengganas.

Pada mesyuarat itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ahli pakatan melalui langkah pembinaan kapasiti yang merupakan aspek penting bagi memerangi keganasan dan ekstremisme melampau.

Beliau turut berkongsi strategi Malaysia membanteras segala bentuk keganasan melalui pendekatan kerajaan dan masyarakat secara menyeluruh.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat berkenaan membuktikan komitmen dan kesungguhan negara memerangi keganasan dan ekstremisme melampau.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Mohamad juga dijadual bertemu dengan pegawai-pegawai kanan negara berkenaan bagi membincangkan pelbagai perkara dua hala di antara Malaysia dan Arab Saudi.

Advertisement