Anda di sini

Kanak-kanak lelaki empat tahun parah diserang kumpulan anjing liar

Advertisement
 Keadaan kepala mangsa selepas diserang kumpulan anjing liar.
PARAH: Keadaan kepala mangsa selepas diserang kumpulan anjing liar.
 Mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di HWKKS Likas.
STABIL: Mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di HWKKS Likas.

KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki empat tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di kawasan lapang berhampiran Jalan Mampakad Laut Pitas di sini kira-kira jam 6.05 pagi semalam.

Menurut sumber tindakan pantas suami isteri yang berada berhampiran berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Katanya mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan di seluruh badan disebabkan banyak kesan gigitan dan cakaran daripada haiwan liar terbabit.

“Difahamkan, sebelum kejadian suami isteri yang melalui tempat kejadian dalam perjalanan menaiki motosikal menuju ke Dataran Bengkoka sebelum melihat enam atau tujuh ekor anjing liar sedang menyalak, berkerumun dan sedang menggigit sesuatu.

“Wanita itu kemudian menghampiri kawasan itu dan melihat seorang kanak-kanak lelaki tertiarap tanpa pakaian serta berlumuran darah sedang digigit oleh kumpulan anjing liar berkenaan.

"Dia kemudian memanggil suaminya untuk menghalau anjing liar dan mengangkat mangsa untuk dihantar ke Hospital Pitas bagi rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata kumpulan anjing liar yang menyerang mangsa itu adalah dipercayai haiwan liar yang sering berkeliaran di kawasan berkenaan dan di sekitar Dataran Bengkoka.

Dalam pada itu seorang lagi sumber berkata ketika kejadian ibu mangsa keluar rumah untuk bekerja dengan berjalan kaki dan mangsa menyusul dari belakang tanpa pengetahuan ibu serta neneknya.

"Ibu mangsa meninggalkan anaknya itu di rumah dengan dijaga oleh neneknya, jarak perjalanan rumah mangsa ke tempat kerja ibunya kira-kira 300 meter manakala jarak tempat kejadian dari rumahnya hampir 100 meter.

"Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat banyak kesan gigitan dan cakaran anjing di seluruh anggota badan," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan kini masih dalam rawatan lanjut.

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement