
KOTA KINABALU: Kepelbagaian etnik dan budaya di Sabah mampu memainkan peranan dalam menyumbang pertumbuhan industri pelancongan negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, keunikan budaya di negeri ini juga dilihat dapat mempromosikan pelancongan di Sabah, selain memupuk perpaduan sosial.
Katanya, melalui acara budaya seperti Pesat Kaamatan yang disambut setiap tahun dapat menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa datang ke Sabah.
“Kita boleh berkongsi perayaan dan tradisi dengan pengunjung supaya mereka dapat memahami budaya di Sabah, sekali gus menggalakkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, semua rakyat di negeri ini perlu mengekalkan identiti budaya masing-masing dan menerima kepelbagaian yang ada di sekeliling kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Pesta Kaamatan anjuran Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), di sini semalam.
Menurutnya, tradisi adalah salah satu cara untuk menyatukan semua masyarakat dan komuniti di sesebuah kawasan.
“Dengan menghormati adat resam dan kepercayaan orang lain, kita dapat memupuk semangat perpaduan serta keharmonian pelbagai kaum di negeri ini,”katanya.
Sementara itu, Christina memuji pihak pengurusan KTYS kerana dapat menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan ini.
“Saya sangat teruja melihat pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau dalam majlis ini kerana ia dapat mencungkil serta mengetengahkan bakat-bakat penuntut kolej di sini,” katanya.
Christina turut merakamkan tahniah kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana terus memberi sokongan dalam meningkatkan institusi pendidikan di negeri ini seperti KTYS.
“Dedikasi pihak pengurusan, pensyarah, dan kakitangan dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada penuntut sangat terpuji,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman dan Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Samin Ongki.