Anda di sini

Dua lagi pesakit peroleh penglihatan hasil pendermaan organ

Advertisement
 Mendiang Zeno Linos mendermakan matanya kepada dua penerima.
DERMA: Mendiang Zeno Linos mendermakan matanya kepada dua penerima.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan dua lagi individu yang menghadapi masalah mata berjaya memperoleh penglihatan hasil pendermaan organ di Hospital Queen Elizabeth.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata ini adalah kes keempat yang direkodkan di Sabah bagi tahun ini. 

“Pendermaan organ kali ini membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun iaitu mendiang Zeno Linos yang disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth kerana masalah perubatan. 

“Sebaik keluarga dimaklumkan mengenai pilihan untuk menderma organ, pihak keluarga bersetuju mendermakan sepasang kornea kepada pesakit yang memerlukan. 

“Prosedur pendermaan kornea berjaya disempurnakan dan ditransplan terhadap dua orang pesakit di Hospital Queen Elizabeth,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya kedua-dua penerima tersebut kini dalam proses penyembuhan. 

Berkongsi latar belakang penderma, Rose berkata Zeno yang berketurunan Dusun adalah anak kelima daripada tujuh beradik dan belum berkahwin.

“Beliau memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kokol dan seterusnya ke peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menggatal sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma di Politeknik Kota Kinabalu. 

“Pekerjaan terakhir mendiang adalah tukang masak di salah sebuah restoran di Bandaraya Kota Kinabalu dan menurut keluarganya mendiang adalah seorang anak yang taat dan baik hati serta rajin membantu keluarga termasuklah menjaga ibunya dan membersihkan sayur-sayuran untuk dijual di tamu,” katanya.

Beliau berkata walaupun sedih dengan kehilangan orang tersayang, pihak keluarga bersyukur peluang bagi menjalankan kebaikan sebagai tanda cinta kasih daripada Tuhan dan berharap ianya menjadi contoh kepada masyarakat khususnya di Sabah mengenai pendermaan organ.

“JKNS mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga terhadap anugerah kehidupan yang diberikan. 

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga tabah menghadapi kehilangan ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement