Anda di sini

Dua daripada 12 individu terbabit kes pemalsuan sijil kelahiran dibebas

Advertisement
 Azam menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan debat di sini.
TAHNIAH: Azam menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan debat di sini.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan dua daripada 12 individu yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan dokumen sijil kelahiran untuk untuk mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kejayaan penahanan sindiket itu adalah hasil siasatan proaktif dan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Dalam kes ini, kita mematahkan sindiket yang terlibat dalam kegiatan memberi rasuah kepada individu tertentu bagi menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kelahiran di mana identiti kanak-kanak itu tidak sepadan dengan identiti ibu bapa.

“Wang bayaran itu juga didapati bagi merasuah pegawai JPN untuk mendapatkan sijil kelahiran,” katanya semasa sidang media pada Majlis penutupan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023 di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Terdahulu SPRM menahan kesemua individu menerusi satu serbuan berasingan yang dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang kira-kira jam 6 petang 7 Jun lalu.

Penahanan itu membabitkan dua pegawai agensi kerajaan, empat doktor perubatan swasta dan enam orang awam berumur antara 42 hingga 81 tahun.

Difahamkan doktor tertentu akan menandatangan dan mengesahkan borang kelahiran bagi mengesahkan kelahiran pemohon di klinik berkenaan walaupun ia tidak berlaku.

Dengan pengesahan tersebut, pemohon atau orang tengah akan menguruskan pendaftaran kelahiran anak dan sekiranya terdapat keraguan, pihak berkaitan akan memaklumkan kepada pemohon bahawa permohonan tidak dapat diproses dan perlu menunggu tindakan lanjut.

Pemohon atau orang tengah seterusnya akan cuba berurusan dengan pegawai agensi kerajaan bagi mendapatkan status permohonan.

Sekiranya permohonan ditolak atau disenarai hitam, pihak tersebut akan menawarkan sejumlah wang rasuah kepada pegawai terlibat untuk mendapatkan kelulusan.

Azam berkata SPRM menganggap kes itu sebagai satu bentuk pencabulan kedaulatan dan isu yang sangat sensitif.

"Penipuan berkaitan kelahiran adalah perkara yang sangat serius yang perlu disiasat dengan teliti dari akarnya,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata tiada kes seumpama yang berlaku di Sabah.

  • oleh
  • Advertisement