Anda di sini

China dan Rusia adakan rondaan udara bersama di Laut Jepun, Laut China Timur

Advertisement
 

BEIJING: China dan Rusia kelmarin mengadakan rondaan tentera udara bersama di Laut Jepun dan Laut China Timur, menyaksikan Korea Selatan mengerahkan jet pejuang sebagai tindak balas terhadap pesawat perang yang merentasi berhampiran ruang udaranya.

Beijing dan Moscow mengadakan rondaan udara bersama yang keenam mengikut rancangan kerjasama ketenteraan tahunan antara China dan Rusia, kata kementerian pertahanan China dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai gerakan itu, yang berlaku di perairan yang bersempadan dengan Jepun, semenanjung Korea dan Taiwan.

Korea Selatan berkata empat pesawat tentera Rusia dan empat pesawat tentera China telah memasuki zon pengenalan pertahanan udara (ADIZ) sekitar waktu tengah hari kelmarin, mendorong negara tersebut untuk mengerahkan pesawat pejuang.

ADIZ ialah kawasan yang lebih luas berbanding ruang udara negara di mana ia mengawal pesawat atas sebab keselamatan, tetapi konsep itu tidak ditakrifkan dalam mana-mana perjanjian antarabangsa.

Tentera Korea Selatan mengenal pasti jet China dan Rusia sebelum mereka masuk ke zon pengenalan udara, kata Ketua Turus Bersama Seoul (JCS).

“Kami mengerahkan pejuang tentera udara untuk menjalankan langkah taktikal sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan,” tambahnya.

Lapan jet asing itu tidak melanggar ruang udara Seoul, kata JCS.

Insiden itu berlaku selepas menteri pertahanan Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat membuat persetujuan pada Sabtu untuk menyediakan perkongsian data masa nyata mengenai pelancaran peluru berpandu Korea Utara menjelang akhir tahun ini.

Ditanya mengenai rondaan udara Rusia-China, jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel berkata Amerika Syarikat komited untuk bekerjasama dengan Jepun dan Korea Selatan ke arah “Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka” dan bahawa sekutu itu mengambil berat tentang sebarang tindakan “yang boleh ditafsirkan sebagai tidak stabil atau melulu”.

Semasa sidang kemuncak di Moscow pada Mac, pemimpin China, Xi Jinping menjemput Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk melawat Beijing dan kedua-dua pemimpin itu mengisytiharkan bahawa hubungan mereka “memasuki era baharu”.

Beijing dan Moscow adalah sekutu Perang Dingin dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin rapat, terutama dalam bidang ekonomi dan ketenteraan.

Kedua-dua negara telah menggembar-gemburkan perkongsian yang mereka katakan “tanpa had” dan sengaja mempamerkan persahabatan rapat antara Xi dan Putin. — AFP 

Advertisement