
KOTA KINABALU: Biarpun memiliki masalah komunikasi sejak lahir dan menjadi pelajar berkeperluan pendidikan khas, Muhammad Nabil Izzat Mohammad Talip, 18, berjaya membuktikan pelajar istimewa sepertinya masih mampu meraih kecemerlangan dalam pelajaran.
Anak kedua daripada lima adik-beradik ini, antara pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Negeri Sabah bagi Kategori E (Calon Berkeperluan Pendidikan Khas) dengan pencapaian 3A, 2A- dan 1B+.
Kejayaan Nabil yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau Penampang ini dikongsi bersama ibunya Siti Napsiah Kiflin yang turut hadir pada majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2022 di sini hari ini.
Ibunya yang terharu dengan pencapaian Nabil menyifatkan kejayaan anaknya itu sebagai dorongan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
"Nabil ada masalah percakapan sejak lahir lagi. Namun, selepas memasuki tadika pada umur lima tahun, dia mampu membaca dengan cepat dan lancar.
"Sejak itu, Nabil sentiasa mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan dari sekolah rendah hinggalah SPM ini.
"Dia juga pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan 'Global Information Technology Challenge' (GITC) selepas menjadi juara peringkat negeri dan kebangsaan pada tahun lepas," katanya.
Sementara itu, Nabil yang meminati bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan jika ada tawaran.
Beliau berkata, antara mata pelajaran yang paling diminatinya adalah matematik, sains dan Bahasa Inggeris.
Ketika ditanya kaedah yang diamalkan untuk lebih fokus belajar, Nabil menjelaskan tidak ada cara tertentu melainkan beri tumpuan semasa guru mengajar dan memupuk minat terhadap mata pelajaran yang diambil.
Selain Nabil, lima lagi pelajar berkeperluan pendidikan khas yang meraih keputusan cemerlang SPM 2022 di Sabah termasuk Hannah C Kissol dari SMK Stella Maris Kota Kinabalu (3A+, 3A, 1A-), Hafizi Ilham Shah Hassim dari SMK Tungku Lahad Datu (2A+, 4A, 1A-, 1B, 1C), Santriana Zeta Ronny Verus dari SMK Badin Tuaran (3A, 3A-, 1E), Nurhashazwan Y Jakariah dari SMK Stella Maris (3A, 3A-, 1B), dan Dayang Nur Arinah Awang Ahmad dari SMK Perempuan Kota Kinabalu (1A, 4A-, 2B, 1C, 2D).