Anda di sini

Victor Sanjos Komander ESSCOM baharu

Advertisement
 Victor menyampaikan cendera kenangan kepada Hajiji semasa majlis terbabit.
KENANGAN: Victor menyampaikan cendera kenangan kepada Hajiji semasa majlis terbabit.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis serah terima tugas daripada Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby yang menyerahkan tugas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kepada Deputi Komisioner Victor Sanjos.

Mohd Ali yang baharu menggantikan Deputi Komisioner Datuk Hamzah Ahmad pada 18 Mei lalu akan memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan.

Victor dilantik memegang jawatan Komander ESSCOM bermula 3 Julai lalu.

Majlis ringkas terbabit diadakan di Menara Kinabalu di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shahminan Awang Sahari dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Sementara itu ESSCOM melalui satu kenyataan di sini berkata ibarat sirih pulang ke gagang, Victor yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum ini pernah berkhidmat selama kira-kira empat tahun di ESSCOM sebagai Timbalan Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas, Teknikal ESSCOM pada 2015 sehingga 2019. 

“Anak jati Keningau ini juga memiliki kepakaran dalam bidang siasatan dan teknologi serta orang Sabah pertama yang diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai perintis utama menubuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Siber (Cyber Crime) dan Unit Forensik Komputer (Komputer dan Telefon bimbit) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman pada tahun 1997. 

“Beliau yang pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Mutimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Pegawai Turus dalam (Police Cyber Investigation and Response Center) Ketua Unit Keselamatan Siber dan Deputi Superintendan Siasatan Jenayah Komputer sebelum ini dinaikkan pangkat sebagai Deputi Komisioner Polis dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan sejak 15 Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata melalui perkhidmatan selama kira-kira 28 tahun dalam PDRM serta pengalaman luas dan kepakaran yang ada, Victor yang gemar turun padang berinteraksi dengan masyarakat setempat ini diyakini mampu meneruskan legasi dan kecemerlangan ESSCOM. 

Terdahulu Mohd Ali menggantikan Hamzah yang bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

  • oleh
  • Advertisement