Anda di sini

Usaha syarikat pengeluar panel LED perluas operasi di Sarawak dialukan

Advertisement
 Awang Tengah (tiga kiri) ketika mengadakan lawatan ke Absen semalam.
Awang Tengah (tiga kiri) ketika mengadakan lawatan ke Absen semalam.

KUCHING: Sarawak mengalu-alukan usaha syarikat pengeluar utama panel LED (diod pemancar cahaya), Absen yang berpangkalan di Huizhou China, mempertimbang untuk memperluaskan operasinya di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau turut kagum dengan produk keluaran Absen dan menyifatkan Sarawak lokasi strategik untuk syarikat itu memperluaskan operasinya di luar negara yang memudahkannya akses ke pasaran Asia.

"Projek berpotensi ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang dipacu oleh data dan teknologi," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa,Industri dan Pelaburan berkata demikian sempena lawatan kerja ke Absen di Huizhou, China semalam.

Absen merupakan pengeluar terkemuka bagi paparan dan skrin LED dalaman dan luaran. 

Syarikat itu diasaskan pada 2001, disenaraikan pada 2014 dan mempunyai ‘kehadiran' di beberapa negara seperti Jepun, Rusia, Jerman, Amerika Syarikat,Hong Kong dan sebagainya.

Semasa lawatan itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli diberi taklimat mengenai syarikat itu dan produk-produk keluarannya yang mempunyai pelbagai kegunaan serta aplikasi dalam paparan bersaiz besar, papan tanda, iklan dan banyak lagi.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Pengarah EPU Sarawak Lester Matthew, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Abdullah Julaihi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datu Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sarawak Energy Berhad James Ung.

Advertisement