Anda di sini

Terbuka Perancis: Rune, Haddad Maia ungguli perlawanan maraton paling epik

Advertisement
RUNE
RUNE

PARIS: Holger Rune dan Beatrix Haddad Maia masing-masing memenangi perlawanan maraton yang mengambil masa hampir lapan jam untuk tamat pada Isnin sementara Iga Swiatek memerlukan hanya 31 minit untuk melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan Terbuka Perancis di sini.

Rune, pemain ranking keenam dunia, melangkah ke peringkat suku akhir yang kedua berturut-turut di sini dengan kemenangan pertama dalam lima set.

Pemain muda berusia 20 tahun dari Denmark itu menewaskan Francisco Cerundolo 7-6 (7/3), 3-6, 6-4, 1-6 dan 7-6 (10/7) dalam masa empat jam dan akan bertemu naib juara kejohanan tahun lepas, Casper Ruud dalam apa yang ulangan perlawanan suku akhir tegang tahun lepas.

Rune mendapat cemuhan oleh penonton di Stadium Philippe Chatrier kerana memukul bola dengan cara yang salah pada permainan keempat set ketiga.

Lawannya yang juga pilihan ke-23 kejohanan dari Argentina berhenti bermain dengan menjangkakan umpire akan memberikan mata kepadanya.

Permainan diteruskan dan Cerundolo, yang diberi amaran kerana berhenti bermain dan hilang pukulan servis.

“Ini adalah tenis. Sukan tenis, beberapa umpire melakukan kesilapan. Ada yang melakukan kesilapan kepada saya dan kepada dia. Itulah lumrah kehidupan,” kata Rune.

Cerundolo, yang bermain pada minggu kedua satu kejohanan Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya, menerima sokongan padu dari penonton apabila berjaya mengikat kedudukan.

Dalam perlawanan penentuan, Rune terselamat dari ketinggalan 3-4, 0-40 sebelum kembali bersaing dan akhirnya menang pada permainan tiebreak.

Rune menamatkan perlawanan dengan 48 pukulan kemenangan dan 73 kesilapan mudah.

Pada perlawanan lain, Ruud, pemain pilihan keempat kejohanan yang juga naib juara kejohanan, menewaskan Nicolas Jarry dari Chile 7-6 (7/3), 7-5 dan 7-5.

Jaguh dari Jerman, Alexander Zverev, melangkah ke peringkat suku akhir buat kali kelima dalam tempoh enam tahun selepas menang selesa 6-1, 6-4 dan 6-3 ke atas Grigor Dimitrov.

Pemain ranking keempat dunia itu akan bertemu dengan Tomas Martin Etcheverry, pemain ranking ke-40 dunia dari Argentina, yang melangkah ke peringkat suku akhir buat kali pertama selepas menewaskan pemain Jepun, Yoshihito Nishioka 7-6 (10/8), 6-0 dan 6-1. 

Dalam bahagian wanita, Haddad Maia meletakkan namanya dalam senarai perlawanan perseorangan wanita ketiga paling lama di Terbuka Perancis dan juga menjadi pemain wanita pertama dari Brazil yang melangkah ke peringkat suku akhir satu kejohanan Grand Slam sejak 1968.

Haddad Maia bangkit dari ketinggalan satu set dan 0-3 sebelum menewaskan Sara Sorribes Tormo dalam masa tiga jam dan 51 minit.

Pemain kidal berusia 27 tahun itu menang 6-7(3/7), 6-3 dan 7-5 ke atas lawan yang berada pada ranking ke-132 dunia dari Sepanyol.

Perlawanan itu kurang 16 minit untuk rekod empat jam dan tujuh minit diperlukan Virginie Buisson untuk menewaskan rakan senegara dari Perancis, Noelle van Lottum dalam perlawanan pusingan pertama pada 1995.

Haddad Maia adalah pemain wanita Brazil pertama yang melangkah ke peringkat suku akhir satu kejohanan Grand Slam sejak pemenang tujuh kali kejohanan Grand Slam, Mario Bueno pada 1968.

Dia akan bertemu dengan pemain ranking ketujuh dunia, Ons Jabeur dari Tunisia untuk memburu satu tempat ke separuh akhir.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana saya tidak mengalah dan saya fikir kerana itulah kenapa saya selayaknya menang,” kata Haddad Maia.

Swiatek,  yang juga pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, menempah pertemuan suku akhir menentang Coco Gauff selepas lawannya, Lesia Tsurenko menarik diri kerana tidak sihat selepas hanya 31 minit dalam gelanggang.

Swiatek mendahului 5-1 apabila Tsurenko, yang memanggil doktor selepas berasa pening dan sukar bernafas, membuat keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan.

Gauff, 19, melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan di sini buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Anna Karolina Schmiedlova dari Slovakia.

Tahun lepas, Swiatek menewaskan Gauff 6-1 dan 6-3 di final untuk memenangi kejuaraan buat kali kedua.

Dia juga memiliki rekod pertemuan 6-0 menentang pemain muda dari AS itu.

Jabeur meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir kejohanan buat kali pertama selepas menewaskan Bernarda Pera 6-3 dan 6-1.

Jabeur, naib juara di Wimbledon dan Terbuka AS tahun lepas, sudah melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir dalam semua empat kejohanan Grand Slam. — AFP

Advertisement