Anda di sini

SLA rayu pemilik lori tidak dikompaun

Advertisement
Tiong (kiri belakang) bersama ahli SLA yang lain ketika mengadakan sidang media hari ini.
Tiong (kiri belakang) bersama ahli SLA yang lain ketika mengadakan sidang media hari ini.

SIBU: Persatuan Lori Sibu (SLA) merayu pihak berkuasa tidak mengenakan kompaun kepada pemilik lori yang meletakkan kenderaan di luar kawasan yang ditetapkan.

Pengerusi SLA Tiong Kung Lik berkata, persatuan itu menerima aduan daripada ahli yang mendakwa lori atau treler mereka telah disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu pada minggu lepas kerana meletak kenderaan di luar kawasan parkir milik SLA di Jalan Wawasan, di sini.

Katanya, ia susulan tindakan penyerahan tanah yang sebelum ini digunakan sebagai tempat letak lori mereka kepada pejabat Sarawak Energy Sibu untuk membina pencawang dan stesen sehingga menyebabkan pemilik lori tidak mempunyai pilihan selain meletakkan kenderaan mereka di kawasan lapang dan kawasan kediaman.

“Kami masih ingat ketika mesyuarat pada 12 September 2022 di pejabat daerah, unit penguat kuasa JPJ dan polis trafik bersetuju untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori yang diletakkan di luar kawasan parkir yang ditetapkan dengan syarat lori atau treler mesti diletakkan di zon selamat yang tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya, selain mesti mempunyai pencahayaan terang pada waktu malam," katanya ketika mengadakan sidang media hari ini.

Tiong berkata, sebelum ini mereka meletakkan lori di kawasan parkir di Jalan Wawasan, di sini sejak 12 tahun lalu.

"Saya juga telah meminjam kira-kira RM60,000 daripada ahli persatuan untuk memasang pagar dan menimbus kawasan tersebut yang berkeluasan 3.5 ekar daripada jumlah keseluruhan lapan ekar.

"Pihak berkuasa tiba-tiba tanpa sebarang surat rasmi telah meminta kami keluar. Ini agak tidak adil," katanya.

Ujarnya, pihak berkuasa kemudian memberitahu bahawa mereka boleh meletakkan lori di kawasan perindustrian di Jalan Ding Lik Kong.

Bagaimanapun, idea tersebut ditentang oleh ahli persatuan dengan alasan kawasan tersebut tidak selamat.

Pada sidang media yang sama, Tiong menegaskan pihaknya mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu (menghalang mereka meletak kenderaan di Jalan Wawasan).

"Kami juga mahu Majlis Perbandaran Sibu (MPS) meluluskan cadangan menjadikan kawasan lapang di bekas tapak gerai sementara Taman Muhibbah dijadikan sebagai tempat parkir lori kami," rayunya.

Persatuan itu ketika ini mempunyai 3,250 ahli dengan sejumlah 435 lori.

Advertisement