Anda di sini

SCAN dan SBCSG berjaya anjur program jangkauan saringan kesihatan 

Advertisement
Penduduk Dalat yang hadir melakukan saringan kesihatan semasa program jangkauan saringan kesihatan anjuran SCAN dan SBGSG di Sungai Kut Dalat baru-baru ini.
Penduduk Dalat yang hadir melakukan saringan kesihatan semasa program jangkauan saringan kesihatan anjuran SCAN dan SBGSG di Sungai Kut Dalat baru-baru ini.

KUCHING: Petubuhan untuk Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG) berjaya menganjurkan program jangkauan saringan kesihatan di Sungai Kut Dalat sempena Pesta Kaul baru-baru ini.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan SCAN, hampir 100 penduduk dari kawasan sekitar tampil melakukan saringan kesihatan yang diadakan di Dewan Masyarakat Sungai Kut.

Perasmian program itu disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Seramai lima jururawat dari Klinik Kesihatan Dalat membantu melakukan saringan kesihatanseperti memeriksa tekanan darah, glukosa dan kolesterol penduduk yang hadir melakukan saringan kesihatan.

Manakala Datu Dr Zulkifli Jantan melakukan diagnosis peribadi dan kaunseling kesihatan am kepada mereka yang datang untuk pemeriksaan.

Lebih-lebih lagi wanita yang dikesan mempunyai payudara yang tidak normal melalui pemeriksaan klinikal payudara telah diperiksa untuk ketepatan lebih baik menggunakan mesin ultrasound mudah alih sumbangan Gereja Latter Day Saints.

Diagnosis khusus itu dilakukan oleh Dr Sharifah Ashina Wan Ali, pakar bedah payudara dari Hospital Umum Sarawak (HUS). 

Kenyataan itu berkata antara wanita yang datang melakukan pemeriksaan, didapati ada abnormal dan dirujuk ke Hospital Sibu untuk mamogram dan biopsi kerana mesin mamogram Hospital Bintulu kini tidak beroperasi.

Semasa majlis itu, Penasihat SCAN Datin Dayang Mariani Abang Zen mengadakan sesi interaktif bersama wanita yang hadir dengan berkongsi pengalamannya sebagai penghidap kanser payudara.

Dr Sharifah Ashrina turut membuat pembentangan mengenai kanser payudara dan kesihatan payudara kepada yang hadir.

Sebagai sebahagian daripada kerja advokasinya, SCAN turut mendokumentasikan projek itu untuk menyerlahkan jurang dan cabaran yang dihadapi oleh penduduk terpinggir, tambah kenyataan itu.

"Lima pesakit kanser payudara dan dua penjaga telah ditemu bual dan berkongsi pengalaman mereka apabila didiagnosis dengan kanser payudara.

"Kebanyakan pesakit yang terselamat telah didiagnosis semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19 dan mereka berkongsi pengalaman terpaksa menerima rawatan agak lewat pada waktu itu."

Manakala penjaga atau ahli keluarga pesakit yang ditemu bual berkongsi cabaran dihadapi seperti kekangan kewangan dan isu logistik yang memerlukan mereka mengambil cuti tanpa gaji untuk menemani isteri semasa menjalani rawatan.

Temu bual dan video terakhir akan dikongsi di pelbagai platform antarabangsa untuk mengetengahkan jurang penjagaan kanser yang dihadapi pelbagai komuniti orang asli Sarawak.

Kesatuan untuk Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) yang berpangkalan di Switzerland menyokong penghasilan video dan jangkauan kanser payudara diketuai Ketua Projek dan Ahli Jawatankuasa SCAN Dr Melissa Lim manakala pemeriksaan payudara diketuai Presiden Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG) Datin Juriah Sulehan.

Advertisement