Anda di sini

Salah guna dadah, lelaki ditahan di Matang

Advertisement
Dadah yang dirampas daripada suspek.
Dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah di Taman Suria Jaya, Jalan Matang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Padawan telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah di taman tersebut sekitar jam 12.25 tengah hari.

Menurutnya, suspek berusia 35 tahun itu semasa diperiksa telah menyerahkan sendiri dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 7.40 gram bernilai sekitar RM1,480.

"Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

"Semasa disiasat, suspek turut mengaku terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak tiga tahun lalu," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek juga mengaku dadah yang dirampas adalah kepunyaannya.

"Dia mengaku dadah yang dirampas adalah kepunyaannya yang diperolehi daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Tokey Ice'.

"Dia mendapatkan bekalan tersebut secara bank in dengan kekerapan satu kali seminggu dalam bentuk peket 5 gram," katanya.

Suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah kini ditahan reman di bawah Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Usaha diteruskan untuk mengenal pasti dan mengesan pengedar yang terlibat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement