
TUARAN: Sebuah rumah, kedai makan dan kereta musnah dalam kebakaran di Simpang Topokon Jalan Tuaran- Kota Belud di sini kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.38 tengah hari.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dihantar ke tempat kejadian.
“Pasukan Bomba yang tiba di lokasi kejadian menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal jam 2.30 petang bagaimanapun sebuah rumah seluas 60X40 kaki persegi, kedai makan seluas 20X30 kaki persegi serta kenderaan jenis kompak musnah sepenuhnya dalam kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata kejadian tidak membawa sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa manakala punca kejadian serta jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.