Anda di sini

Remaja mengaku miliki dadah dihantar ke Sekolah Henry Gurney

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun diarahkan oleh Mahkamah Majistret hari ini untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo sehingga dia mencapai umur 21 tahun selepas mengaku bersalah memiliki 0.04 gram Methamphetamine.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zaiton Anuar terhadap pesalah muda tersebut setelah mendengar laporan sosial dan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 11 pagi, 7 Disember 2022 di tepi jalan berhadapan sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Stutong di sini. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan keterangan kes, polis menahan tertuduh di kawasan itu susulan dia disyaki terlibat kegiatan dadah dan merampas satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu (berat kasar 0.20 gram) dari genggaman tangan kanan tertuduh.

Barang kes dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis dan laporan kimia bertarikh 6 Januari 2023 mengesahkan barang kes mengandungi 0.04 gram Methamphetamine. 

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen sama iaitu memiliki 0.06 gram Methamphetamine. 

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan demikian terhadap Mohamad Ridzuan Usup yang mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit pada 24 Mac lalu, sekitar jam 11.15 pagi di sebuah rumah di Kampung Semariang Baru di sini. 

Semasa serbuan dilakukan di rumah tersebut, pihak polis telah menemui dua peket plastik lutsinar masing-masing berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam beg silang yang diletakkan di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Sehubungan itu, tertuduh ditangkap dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Kuching untuk tindakan selanjutnya.   

Pendakwaan bagi kes dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, ASP Rogayah Rosli dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement