
BINTULU: Program dan aktiviti yang dianjurkan kelab sukan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang memberi manfaat kepada rakyat terutama untuk golongan belia akan terus disokong serta dibantu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, antara tindakan yang dapat membantu mereka adalah dengan menyumbang dana atau geran projek kecil luar bandar (MRP) yang diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak.
Katanya, kerajaan akan meneruskan sumbangan dana seumpamanya menerusi DUN Tanjong Batu supaya kelab dan persatuan ini aktif menganjurkan aktiviti seumpamanya yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Sumbangan MRP untuk kelab sukan misalnya antara inisiatif kita untuk menggalakkan kelab ini menganjur pelbagai aktiviti serta menarik lebih ramai penyertaan belia terutama dalam acara sukan," ujarnya semasa ditemui pada majlis penyerahan cek MRP untuk kelab dan persatuan di Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu di Bintulu Sentral hari ini.
Beliau menyerahkan dana MRP tersebut kepada Persatuan Hii (Kho) Bahagian Bintulu dan untuk Kelab Futsal Top Eight Bintulu bagi penganjuran Kejohanan Futsal Terbuka 2.0 Piala Pusingan ADUN Tanjong Batu.
Pang berkata, beliau akan cuba membantu dari segi peruntukan dana untuk penganjuran aktiviti sukan di Bintulu dengan harapan akan terus memupuk belia menyukai aktiviti sukan.
Pada masa sama katanya, persatuan dan NGO diharap dapat merekrut lebih ramai ahli baharu dan saling bekerjasama supaya persatuan mahupun kelab mereka mampu berkembang maju serta membantu menjadikan Bintulu lebih baik.
"Ada yang tidak suka sukan fizikal bahkan lebih suka bermain dengan telefon bimbit, justeru inisiatif saya bukan sahaja untuk memupuk minat bahkan menggalakkan generasi muda hari ini terlibat dengan aktiviti luar," katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Futsal Top Eight Bintulu Halimah Musa berkata, peruntukan ini akan digunakan sebaiknya untuk membantu penganjuran aktiviti mereka terutama sukan futsal.
"Mungkin kami akan menganjurkan program lain selain sukan antaranya program kebajikan.
"Objektif penubuhan kelab kami adalah untuk mencari pemain yang dapat mewakili belia supaya mereka terus berkembang maju dalam bidang sukan bola sepak dan futsal," katanya.
Sehingga kini katanya, kelab berkenaan mempunyai 100 ahli dan telah berjaya membentuk pasukan wanita Top Eight FC serta merancang menubuhkan sebuah pasukan lelaki pada masa depan.
"Kelab kami ditubuhkan dan diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Sarawak dan mula aktif menganjur pelbagai aktiviti pada tahun 2020," katanya sambil menambah, ahli-ahli kelab terdiri daripada belia berumur 17 tahun ke atas.
Ahli jawatankuasa Persatuan Hii (Kho) Bahagian Bintulu yang hadir dalam penyerahan MRP itu terdiri daripada Pengarah Kehormat Datuk Hii Tiong Kuok, Pengarah Hii Too Sien, Timbalan Pengarah Hii Siaw Lee, Penolong Pengarah Hii Sii Hing dan Setiausaha Hu Sieng Tuan.