Anda di sini

Polis tahan lima sekeluarga, rampas dadah dan pistol

Advertisement
Muhammad Zaki bersama para pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah dan senjata api yang dirampas pada Op Tapis Khas dan Op Tapis Bersepadu pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. - Gambar Bernama
Muhammad Zaki bersama para pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah dan senjata api yang dirampas pada Op Tapis Khas dan Op Tapis Bersepadu pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. - Gambar BERNAMA

KOTA BHARU: Polis menahan lima sekeluarga selepas serbuan di rumah mereka di Kampung Takang, Tawang, Bachok, dekat sini, menemukan sejumlah dadah dan sepucuk pistol, Selasa lalu. (30 Mei)

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mereka yang berusia antara 11 hingga 54 tahun terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita warga Thailand dan dua kanak-kanak.

Beliau berkata serbuan dilakukan pada 7 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bachok dalam Op Tapis Khas dan Op Tapis Bersepadu.

“Pemeriksaan polis telah menemukan 952 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM10,472 yang boleh digunakan oleh seramai 952 penagih.

“Pemeriksaan juga turut menemukan sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher M004124, satu magazine hitam bertulis Austria, 11 butir peluru berukuran 9mm, satu besi hitam bertulisan Weapons Oil Medium dan dua batang berus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata kesemua yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau namun suspek lelaki didapati positif dadah.

Menurut beliau kesemua suspek telah direman selama tujuh hari mulai 31 Mei lalu dan tamat semalam.

"Kesemua suspek bagaimanapun disambung reman mulai hari ini hingga Selasa depan (13 Jun) untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1971," katanya.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata seramai 555 individu telah ditahan sepanjang Op Tapis Khas bermula 29 Mei hingga semalam, melibatkan pelbagai kesalahan dadah dan Akta Racun 1952.

“Kesemua yang ditahan itu berusia antara 11 hingga 59 tahun melibatkan 515 warga tempatan, warga asing (35), empat pelajar dan seorang penjawat awam.

“Dalam operasi ini juga pelbagai jenis dadah seperti pil kuda, syabu, ganja, ekstasi dan pil psikotrapik bernilai RM395,600 telah dirampas,” katanya. - BERNAMA

Advertisement