Anda di sini

'Phone scam': Bekas pekerja O&G rugi lebih RM400,000 

Advertisement
MOHD AZMAN
MOHD AZMAN

KUCHING: Seorang bekas pekerja sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) mengalami kerugian lebih RM400,000 selepas menjadi mangsa penipuan 'phone scam', baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia 69 tahun terbabit menerima panggilan telefon pada 19 November 2023 dan diberitahu bahawa namanya dalam pemerhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana kes fitnah.

Menurutnya, mangsa kemudian disambung panggilan telefon dengan orang lain yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Vincent, Inspektor Herman dan Inspektor Kho dari Kota Kinabalu, Sabah.

"Mangsa kemudian dikatakan terlibat dengan kes jenayah pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

"Susulan itu, suspek mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu di institusi kewangan di Kuching bagi tujuan pemantauan pengaliran wang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa memberi kesemua maklumat perbankan miliknya.

"Selain itu, suspek juga mengarahkan mangsa memindahkan wang Amanah Saham Berhad (ASB) berjumlah RM390,000 ke akaun baharunya.

"Mangsa turut diarahkan menjual semua saham di sebuah institusi kewangan berjumlah RM59,263 dan memasukkannya ke dalam bank baharu itu," katanya.
Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati wang dalam akaun baharunya itu hanya berbaki RM63.77.

"Pada 30 Mei, mangsa mendapati wangnya berjumlah RM449,200 dari akaun bank baharunya itu ke dua akaun bank berasingan yang tidak dikenalinya secara berperingkat sejak 21 November hingga 2 Disember tahun lepas," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Azman juga menasihatkan orang ramai agar menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di talian WhatsApp 013-211 1222 bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes penipuan.

Orang ramai juga boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui aplikasi check Scammer CCID atau laman web http:// semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

  • oleh
  • Advertisement