Anda di sini

Pelaksanaan HETR untungkan Malaysia dalam pasaran global hidrogen hijau: PM

Advertisement
Anwar ketika hadir pada Mesyuarat Majlis Sains Negara di Pusat Sains Negara hari ini. - Gambar BERNAMA
Anwar ketika hadir pada Mesyuarat Majlis Sains Negara di Pusat Sains Negara hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) bakal meletakkan Malaysia di kedudukan yang sangat menguntungkan dalam pasaran global hidrogen hijau yang diunjur mencecah US$189.19 bilion menjelang 2050.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah itu, nilai pasaran bagi Malaysia adalah sebanyak US$3.1 bilion atau dua peratus.

"Pelaksanaan HETR dijangka menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan jangkaan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara RM49 bilion dan RM61 bilion menjelang 2030.

"Selain itu, HETR juga mampu memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara melalui penjanaan sehingga 45,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) di Pusat Sains Negara, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata HETR yang menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040 juga dijangka berupaya mengurangkan antara 0.4 peratus sehingga 1.3 peratus Gas Rumah Hijau menjelang 2030 bergantung kepada model pelaksanaan yang dicadangkan dalam pelan tersebut.

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata lima teras strategik telah digariskan bagi membangunkan ekosistem hidrogen yang teguh dan berdaya saing ke arah mencapai wawasan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang 2050.

Beliau berkata pembangunan keupayaan dan pemacuan teknologi tinggi di bawah HETR menyasarkan penghasilan hidrogen dengan kos yang kompetitif bagi penggunaan domestik untuk sasaran transisi tenaga negara dan tujuan eksport. 

Menurutnya, ekosistem secara menyeluruh akan diwujudkan bagi merancakkan pembangunan keupayaan industri selain menerusi penglibatan aktif pihak swasta dan ahli akademik.

Perdana Menteri berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Sarawak Energy Bhd telah bekerjasama dalam pengeluaran komersial hidrogen hijau dan penerokaan rantaian bekalan nilainya di Asia bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga bersih global. 

"Kerjasama ini antaranya adalah melalui pengukuhan keupayaan penyelidikan, peningkatan pengetahuan dalam teknologi serta pembangunan berkaitan hidrogen," katanya.

Anwar berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga telah melaksanakan inisiatif dan projek berkaitan teknologi hidrogen meliputi penjanaan dan mobiliti hidrogen melalui kerjasama antara agensi seperti NanoMalaysia dengan pihak industri tempatan bagi projek pengisian semula hidrogen untuk mobiliti awam, inisitiaf pertama seumpamanya di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat NSC yang berlangsung hari ini juga mengambil maklum mengenai kepentingan Akta Lembaga Angkasa Malaysia (Akta 834) dan penubuhan Bahagian Penguasa Angkasa. 

"Akta dan penubuhan bahagian tersebut adalah amat penting ke arah mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebagai antara tiga negara terbaik dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa di Asia Tenggara, serta mencapai 50 peratus tahap berdikari dalam teknologi angkasa," katanya.

Mesyuarat tersebut yang kali pertama diadakan pada tahun ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. - BERNAMA 

Advertisement