
BINTULU: Seorang lelaki tempatan diberkas pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu susulan disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah di kawasan Tanjung Batu di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Batholomew Umpit berkata, turut dirampas bersama lelaki tempatan berumur 33 tahun itu adalah dadah dengan berat kasar 5.1 gram.
"Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, suspek yang ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan Bintulu dan boleh digunakan untuk 25 hingga 30 orang penagih.
Tegasnya, sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali.
Manakala sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan dua tahun.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini boleh memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Bintulu di talian 086-318304.