Anda di sini

Ketua Polis Daerah diseru tingkat mutu perkhidmatan, kurangkan birokrasi: KPN

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Ketua polis daerah diseru untuk berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dengan memberi keutamaan kepada memudahkan urusan dan mengurangkan birokrasi.

Seruan itu disuarakan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman di sini hari ini.

Acryl Sani menasihati semua ketua polis daerah agar menghindari sikap buruk yang menonjolkan sifat angkuh, sebaliknya menerapkan nilai-nilai murni serta memberi keutamaan kepada keperluan pelanggan, sama ada orang ramai atau warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Cabaran yang paling getir ketika ini adalah untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap PDRM yang semakin hari semakin dilanda dengan pelbagai bentuk krisis imej yang tidak menyenangkan.

“Elemen kepantasan, ketepatan dan ketelusan dalam perkhidmatan kepolisan khususnya dalam siasatan kes, amatlah dituntut oleh masyarakat ketika ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang ketua polis daerah di Pahang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta.

Beliau berkata banyak yang perlu diperbaiki dalam proses siasatan dan kegagalan pegawai penyiasat melaporkan perkembangan kes akan menyebabkan pengadu membuat aduan kepada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik dan media, selain menggunakan media sosial. - BERNAMA

Advertisement