Anda di sini

Kerajaan dalam usaha rangka Dasar Karbon Kebangsaan

Advertisement
Nik Nazmi ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
Nik Nazmi ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Dasar Karbon Kebangsaan bagi menyediakan panduan, sekali gus membantu usaha perdagangan karbon di peringkat negeri.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dasar itu juga akan membantu untuk memastikan tiada negeri melakukan kesilapan dalam usaha menjadikan perdagangan karbon sebagai salah satu sumber negeri.

“Banyak negeri seperti Sarawak, Sabah, Perak, Pahang dan Selangor sedang teroka kerana karbon juga dilihat sebagai satu sumber negeri. Cuma di peringkat kebangsaan, kita hendak koordinasi supaya hasil tersebut dapat pulangan yang kita hendak.

“Kadang-kadang apabila bercerita tentang perdagangan karbon dan sebagainya, cerita itu indah tetapi apabila pergi secara terperinci, kos untuk membuat dasar-dasar untuk memastikan karbon itu berkualiti sangat tinggi,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN- Paya Besar) mengenai peratusan hektar baki tanah gambut negara yang belum dijadikan tapak pertanian dan sama ada kerajaan meneroka teknologi untuk meningkatkan kualiti baki tanah gambut itu yang merupakan ekosistem penting dalam penyimpanan karbon serta pemuliharaan biodiversiti.

Selain itu, Nik Nazmi berkata kerajaan juga sedang mengemas kini dan menambah baik Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan bagi mengambil kira Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN (APMS) yang sedang dalam proses untuk disiapkan.

Katanya, APMS akan menjadi panduan kepada dasar di peringkat nasional untuk menguruskan tanah gambut dan menyelaraskan pelbagai agensi yang terlibat. 

Beliau juga memaklumkan sebanyak lapan peratus daripada kawasan tanah di negara ini merupakan tanah gambut dengan taburannya terdapat di Johor, Pahang, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. 

“Keluasan tanah gambut dalam negara yang direkodkan Jabatan Pertanian adalah 714,156 hektar manakala keluasan kawasan pertanian di tanah gambut adalah seluas 342,329 hektar dengan 304,212 hektar digunakan untuk pertanian komoditi dan 38,117 hektar lagi bagi pertanian tanaman makanan,” katanya.

Nik Nazmi berkata selain daripada pulangan ekonomi, tanah gambut juga menyediakan perkhidmatan ekosistem seperti pengawalan banjir dan mitigasi kepada fenomena perubahan iklim termasuk dari segi tadahan karbon yang tinggi.

Beliau berkata kementeriannya telah mengambil inisiatif untuk meneroka penggunaan teknologi dalam menambah baik pengurusan hutan tanah gambut, memandangkan tanah jenis itu mudah terbakar yang boleh mengakibatkan jerebu terutama pada musim kering. - BERNAMA

Advertisement