Anda di sini

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris kukuh kedudukan Sabah

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan cabaran Malaysia terhadap award penghakiman penimbang tara kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, keputusan penting mahkamah itu juga  membuktikan pendirian kerajaan negeri selama ini terhadap apa yang dipanggil tuntutan Sabah tidak mempunyai sebarang merit.

Beliau turut mengalu-alukan kemenangan penting itu dan mengulangi bahawa rakyat Sabah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Justeru katanya, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.

“Kerajaan Sabah mengalu-alukan keputusan itu dan berharap kerajaan Malaysia akan mengambil semua tindakan sewajarnya untuk menamatkan tuntutan itu untuk selama-lamanya.

“Sabah, melalui Jabatan Peguam Negara akan terus memainkan peranannya dengan Peguam Negara Persekutuan dalam menangani kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan Paris di Perancis semalam mengekalkan cabaran Malaysia terhadap keputusan penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa yang dilantik oleh Mahkamah Sepanyol bagi kes tuntutan waris Kesultanan Sulu pada 5 Mei 2020 yang dikenali sebagai 'separa award'.

Stampa memindahkan timbang tara ke Paris selepas Mahkamah Sepanyol yang sama membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara pada Jun 2021.

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris itu juga bermaksud award akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia yang dikeluarkan oleh Stampa selepas memindahkan timbang tara ke Paris pada 28 Feb 2022 tidak boleh dikuatkuasakan terhadap Malaysia.
 

  • oleh
  • Advertisement