Anda di sini

KePKAS komited anjur semula Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu

Advertisement
 Christina ketika hadir dalam program SAR-HAT berkenaan.
LATIHAN: Christina ketika hadir dalam program SAR-HAT berkenaan.

KUNDASANG: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) komited untuk menganjurkan semula acara Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya akan berusaha untuk menghidupkan kembali acara itu selepas ia dihentikan pada tahun 2017 lalu.

“Saya percaya ia dapat direalisasikan tahun depan selepas Taman-Taman Sabah (TTS) membuat persiapan yang diperlukan untuk membuka semula laluan pendakian.

“KePKAS berharap penganjuran tersebut dapat menarik semula pelancong luar datang ke Sabah terutamanya peminat sukan lasak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan program latihan simulasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Altitud Tinggi (SAR-HAT), di sini pada Isnin.

Menurutnya, acara itu akan menjadi sebahagian daripada program antarabangsa yang dianjurkan oleh KePKAS bagi membawa pelancong luar ke Sabah.

“Setakat ini, kementerian telah merancang kejohanan golf antarabangsa dan pertandingan ratu cantik Malaysia untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah,” katanya.

Terdahulu, acara Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu yang diadakan sejak tahun 1987 itu bertujuan mempromosikan puncak tertinggi Asia Tenggara dan Taman Kinabalu, malah ia sudah diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Ir. Mohd Yusrie Abdullah dan Pengarah TTS, Datuk Dr Maklarin Lakim.

  • oleh
  • Advertisement