Anda di sini

Kawasan Samarahan terus terima manfaat pembangunan dirancang menerusi IRSDA

Advertisement
 Abdul Karim (duduk, tiga kiri) menyaksikan upacara ‘miring’ yang diadakan sempena Majlis Gawai Dayak Segulai Sejalai Daerah Asajaya 2023 di Asajaya malam tadi.
Abdul Karim (duduk, tiga kiri) menyaksikan upacara ‘miring’ yang diadakan sempena Majlis Gawai Dayak Segulai Sejalai Daerah Asajaya 2023 di Asajaya malam tadi.

ASAJAYA: Kawasan Samarahan termasuk Asajaya akan terus menerima manfaat pembangunan yang dirancang menerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) bersama agensi pelaksana lain.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia termasuk jalan-jalan ladang di kawasan berkenaan yang harus dinaik taraf bagi memudahkan penduduk untuk mengusahakan tanah mereka yang terbiar.

"Kita mahu jalan ladang-ladang di kawasan kita dibaik pulih kerana kita mahu penduduk yang memiliki tanah terbiar dapat mengusahakan tanah mereka yang pastinya akan membawa pulangan kepada mereka.

"Kita juga akan menyediakan projek lain khasnya di Kampung Sampun termasuk gerai sedia ada untuk dibaik pulih," katanya berucap pada Majlis Gawai Dayak Segulai Sejalai Daerah Asajaya 2023 di Kampung Sampun Gerunggang di sini semalam.

Sementara itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM250,000 telah disalurkan kepada Kampung Sampun Gerunggang sempena sambutan Gawai Dayak.

"Kampung Sampun Gerunggang tidak terlepas daripada rancangan pembangunan yang telah diatur seperti pembesaran jalan kampung, pembinaan jambatan, naik taraf dewan dan sebagainya.

"Peruntukan RTP ini bagi pembinaan tempat letak kereta dan kerja pembesaran dewan," katanya.

Tambah beliau kawasan di Kota Samarahan termasuk Sebuyau, Muara Tuang, Asajaya, Stakan, Simunjan dan Gedong sedang giat melaksanakan pembangunan menerusi IRSDA.

Katanya diharapkan projek pembangunan yang telah diluluskan dan dirancang dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
 
Mengenai sambutan Hari Gawai Dayak yang diadakan katanya, ia mampu mengeratkan silaturahim masyarakat pelbagai kaum selain mengukuhkan perpaduan yang ada dalam kalangan komunitinya.

"Meskipun kita berbilang bangsa tetapi kita masih dapat duduk bersama untuk berbincang dalam menyelesaikan masalah kawasan dalam perundingan bersama,” katanya.

Malahan beliau berkata, masyarakat majmuk di kawasan Asajaya termasuk kawasan lain seperti bangsa Melayu, Iban dan Cina dapat menyambut perayaan bersama-sama.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Manca Ata, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Annuar Daan, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Samarahan.

Advertisement