Anda di sini

Jumlah kes COVID-19 menurun 9.9 peratus

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Jumlah kes COVID-19 menurun 9.9 peratus kepada 5,801 kes pada Minggu Epidemiologi ke-21 (ME 21/2023) iaitu bagi tempoh 21 hingga 27 Mei, berbanding 6,439 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk yang disyaki dijangkiti, ke fasiliti kesihatan awam menurun daripada 5.8 kepada 5.3 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 21/2023 berbanding ME 20/2023 iaitu bagi tempoh 14 hingga 20 Mei.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) dan peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 masing-masing menurun sebanyak empat peratus pada ME 21/2023 berbanding minggu sebelumnya.

“Pada ME 21/2023, sebanyak 113 varian baharu dilaporkan yang terdiri daripada 87 kes varian membimbangkan (VOC) dan 26 varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) dan kesemuanya ialah varian Omicron," katanya.

Sehingga kini, beliau berkata jumlah kumulatif bagi kes XBB.1.16 (Arcturus) dan sublineages adalah sebanyak 50 kes yang kesemuanya merupakan kes tempatan. 

Dr Zaliha berkata setakat 27 Mei lepas, hanya 50 peratus atau 16,335,353 penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus atau 823,317 sahaja mendapat dos penggalak kedua.

“Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak. Sehingga kini, keadaan jangkitan COVID-19 di Malaysia masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan di hospital tidak terjejas,” katanya.

Mengenai situasi cuaca panas di Malaysia, Dr Zaliha berkata tiada kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan pada ME 21/2023, yang menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal satu kes sahaja iaitu yang dilaporkan pada 25 April lepas.

Jumlah kes kumulatif penyakit berkaitan cuaca panas dari ME 16/2023 hingga ME 21/2023 adalah sebanyak 34 kes melibatkan 20 kes kelesuan haba, sembilan kes kejang haba dan lima kes strok haba.

“Pecahan kes mengikut umur ialah 21 kes dewasa, lapan kes remaja, tiga kes kanak-kanak dan dua kes warga emas. Semua kes lain adalah stabil dan telah discaj,” katanya.

Dr Zaliha menasihati orang ramai agar mengehadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas serta digalakkan untuk kerap minum air bagi memastikan hidrasi badan mencukupi.

“Sekiranya mengalami gejala penyakit berkaitan cuaca panas, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan,” katanya. - Bernama 

Advertisement