Anda di sini

Enam murid sekolah cedera, van dirempuh pacuan empat roda

Advertisement
 Antara murid sekolah yang cedera dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut.
CEDERA: Antara murid sekolah yang cedera dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut.

TAWAU: Sekurang-kurangnya enam murid sekolah rendah mengalami kecederaan selepas van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, semua kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun terbabit dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kes kemalangan tersebut kira-kira jam 1 petang.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan tersebut membabitkan sebuah van persendirian dipandu lelaki berumur 24 tahun dengan pacuan empat roda.

“Ketika kejadian van yang membawa enam murid sekolah itu dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 4 menuju balik ke Kampung Hidayat, Batu 4.

“Bagaimanapun, van berkenaan dilanggar oleh pacuan empat roda dipandu lelaki berumur 24 tahun dari arah bertentangan ketika cuba keluar simpang di pusingan U,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu van hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di lorong sebelah kiri jalan menghala ke bandar Tawau.

“Kemalangan terbabit menyebabkan enam murid sekolah mengalami kecederaan ringan, manakala kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua murid yang cedera dihantar ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan menerima rawatan lanjut,” katanya.

Jasmin berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • oleh
  • Advertisement