Anda di sini

Empat nelayan ditahan langgar Akta Perikanan

Advertisement
 Semua suspek dan bot berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
TANGKAP: Semua suspek dan bot berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

LAHAD DATU: Empat nelayan termasuk seorang warga asing ditahan selepas didapati melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di perairan timur laut Kunak Jaya.

Semua suspek ditahan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Operasi Pluto Timur, di sini kira-kira jam 4.15 petang, pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pasukan operasi mengesan sebuah bot pukat jerut bilis dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan operasi bertindak menjalankan pemeriksaan dan mendapati terdapat empat lelaki termasuk seorang warga asing berumur 20 hingga 40 tahun di dalam bot berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 0.8 batu nautika.

“Semua suspek dan bot berkenaan ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Nik Mohd Rizam berkata, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang pelanggaran undang-undang serta jenayah di perairan Lahad Datu.

“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat atau aduan ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089885727 atau MERS 999,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement