Anda di sini

Buat laporan palsu, wanita kena bon berkelakuan baik selama setahun 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita berusia 22 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun, tahun lalu.

Majistret Zaiton Anuar memerintahkan Stephanie Michael yang tidak diwakili peguam itu dibebaskan dengan jaminan bon RM500 (didepositkan) berserta seorang penjamin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Sentral di sini pada 7 September 2022, sekitar jam 7.10 pagi.

Fakta kes mendedahkan tertuduh melaporkan kepada pihak polis yang dia telah diragut oleh dua orang lelaki menunggang sebuah motosikal semasa berada di sebuah perhentian bas di RPR Bandar Baru Semariang di sini.

Hasil siasatan polis bagaimanapun mendapati laporan itu dibuat untuk kepentingan peribadi, bahkan kejadian ragut itu merupakan cerita rekaan tertuduh dan tidak pernah berlaku.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli.
 

  • oleh
  • Advertisement