Anda di sini

Aplikasikan teknologi pantau perairan ESSZONE: Victor

Advertisement
 Victor merakamkan gambar kenangan bersama selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander ESSCOM di Menara Kinabalu di sini.
KENANGAN: Victor merakamkan gambar kenangan bersama selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander ESSCOM di Menara Kinabalu di sini.

KOTA KINABALU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Victor Sanjos memfokuskan tiga perkara dalam penugasan menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Beliau yang baharu dilantik memegang jawatan ini berkata apa yang diutamakan adalah mengaplikasi teknologi termasuklah dron dan kamera bagi memantau aktiviti di sepanjang perairan pantai timur Sabah.

"Saya mempunyai latarbelakang dalam jenayah siber, jadi dari segi penggunaan teknologi kemungkinan terdapat bahagian tertentu yang memerlukan penggunaan teknologi. 

"Kita akan bincangkan perkara ini dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM dan juga pegawai lain bagi melihat apa teknologi yang kita boleh gunakan termasuklah dari segi penggunaan dron dan kamera," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander ESSCOM di Menara Kinabalu di sini semalam.

Majlis penyerahan disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Mengulas lanjut Victor berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan penduduk di ESSZONE melalui program yang dirancang dalam masa terdekat bagi meningkatkan kecekapan keselamatan di kawasan ESSZONE selain mengukuhkan risikan keselamatan. 

"Disebabkan ketika ini membabitkan komuniti ESSZONE jadi biarlah mereka juga mempunyai tanggungjawab, bukan tanggungjawab untuk mencegah keselamatan ini di ESSCOM, tetapi masyarakat yang berada di sekitar itu sama ada yang berada di darat atau tepi pantai atau mereka yang berada di pulau juga mempunyai tanggungjawab masing-masing.

"Jadi kita akan gemblengkan tanggungjawab ini bersama-sama dengan CEO dengan program-program yang saya sebutkan tadi," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan iaitu Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

  • oleh
  • Advertisement