Anda di sini

42 maut akibat banjir, tanah runtuh di Haiti

Advertisement
 Penduduk mengharungi banjir di kawasan kejiranan Petit Goave semasa hujan lebat melanda Haiti, Sabtu lepas. — Gambar AFP
BANJIR: Penduduk mengharungi banjir di kawasan kejiranan Petit Goave semasa hujan lebat melanda Haiti, Sabtu lepas. — Gambar AFP

PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 42 orang maut dan 11 hilang di Haiti selepas hujan lebat pada hujung minggu menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa perlindungan awam kelmarin.

Cuaca buruk menjejaskan tujuh daripada 10 daerah di negara ini yang sudah pun terjerumus ke dalam krisis kemanusiaan berlarutan yang ditambah buruk oleh keganasan kumpulan, keruntuhan politik dan kemerosotan ekonomi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hujan lebat menjejaskan 37,000 orang dan menyebabkan 13,400 kehilangan tempat tinggal.

Pekan Leogane, terletak 40 kilometer barat daya ibu kota Port-au-Prince, terjejas teruk, dengan kerosakan disebabkan oleh tiga sungai yang dilimpahi air.

Sekurang-kurangnya 20 orang mati, menurut pihak berkuasa Haiti.

“Penduduk terdesak. Mereka telah kehilangan segala-galanya. Air telah merosakkan ladang mereka, menghanyutkan ternakan mereka,” kata Datuk Bandar Leogane, Ernson Henry.

Beribu-ribu keluarga terjejas di bandar itu, katanya sambil menegaskan penduduk amat memerlukan makanan, air minuman dan ubat-ubatan.

Banjir itu menyebabkan kerosakan harta benda di seluruh negara, memusnahkan ratusan rumah dan merosakkan beberapa jalan raya.

“Walaupun ia bukan taufan atau ribut tropika, kerosakan di kawasan terjejas adalah besar,” kata Jean-Martin Bauer, penyelaras tindakan kemanusiaan PBB di Haiti.

Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Ariel Henry mengaktifkan Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan.

Kemusnahan besar itu menyerlahkan kelemahan negara dalam menghadapi bencana alam dan kegagalannya untuk mengurangkan risiko ribut menjelang musim taufan yang akan bermula.

Malah sebelum banjir, hampir separuh daripada penduduk Haiti memerlukan bantuan kemanusiaan, angka yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun sahaja, menurut PBB. — AFP 



 

Advertisement