
LIMBANG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memperuntukkan 34 menara telekomunikasi tambahan bagi kawasan Batu Danau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, kemudahan menara telekomunikasi itu amat diperlukan bagi penduduk di konstituensinya khusus bagi mendapatkan capaian Internet.
“Daripada jumlah ini 21 menara telahpun siap dan akan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2024,” katanya kepada media di sini.
Sementara itu katanya, beberapa projek pembangunan giat dilaksanakan di konstituensi Batu Danau di bawah penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM1.5 bilion.
Peruntukan tersebut katanya, diluluskan Abang Johari untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di utara Sarawak, termasuk di daerah Limbang membabitkan kawasan Batu Danau.
Kata beliau, ada projek yang sudah siap, sedang dalam pembinaan dan dalam peringkat penilaian.
“Antara projek yang telah siap adalah Anjung Usahawan di Naga Medamit, kerja-kerja pembaikan sekolah daif dan Perpustakaan Desa di Batu Danau,” katanya.
Paulus menjelaskan lagi, terdapat juga projek-projek dalam peringkat penilaian tender seperti melibatkan pembinaan jalan dan projek bekalan air dari Medamit ke Pulau Brunei.
“Projek Bekalan Air Bersih dari simpang Jalan Pengkalan Madang ke Kampung Ukong akan dilaksanakan pada suku akhir tahun 2023,” ujarnya.