Anda di sini

Wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di Mukah

Advertisement
Keadaan di tempat kejadian ketika kebakaran berlaku tengah malam tadi.
Keadaan di tempat kejadian ketika kebakaran berlaku tengah malam tadi.

MUKAH: Seorang wanita warga emas berusia 75 tahun ditemukan rentung dalam satu kebakaran di Kampung Tutus Ulu, Mukah pada tengah malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, mangsa dikenali sebagai Hamdi Suhai dipercayai terkorban apabila gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut.

"Siasatan lanjut di tapak kebakaran telah menjumpai seorang mangsa perempuan yang gagal melarikan diri dari kebakaran tersebut," katanya kepada Utusan Borneo.

Melalui siasatan katanya, jiran yang terlihat kabel elektrik marak terbakar sekitar jam 12.05 malam, bergegas masuk ke dalam rumah dan mengarahkan semua isi rumah untuk keluar.

Pengadu juga terus menelefon pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan memadamkan api.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah tiba di tempat kejadian sekitar 12.12 dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya sekitar 1.15 pagi.

Keadaan rumah terbakar 90 peratus dan sebuah motosikal turut musnah.

Difahamkan, rumah itu didiami oleh enam penghuni iaitu seorang lelaki warga emas, tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang wanita warga emas (mangsa).

Lima mangsa kebakaran yang lain dilaporkan selamat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk siasatan dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Punca kebakaran masih dalam siasatan oleh Forensik JBPM Sibu.

  • oleh
  • Advertisement