Anda di sini

Verstappen ‘raja’ Grand Prix Sepanyol 

Advertisement
VERSTAPPEN
VERSTAPPEN

MONTMELO: Juara bertahan, Max Verstappen, menjarakkan lagi kedudukan di senarai teratas keseluruhan kategori pemandu Formula Satu (F1) dengan kelebihan 53 mata apabila memenangi perlumbaan Grand Prix Sepanyol pada Ahad.

Pemandu berasal dari Belanda itu mendahului dari awal sehingga ke akhir perlumbaan, di hadapan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dan rakan sepasukan Hamilton di pasukan Mercedes, George Russell.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat Verstappen, kemenangan ketiganya di Sepanyol dan kemenangan kelima dari tujuh perlumbaan musim ini selain kemenangan yang ke-40 dalam kariernya.

“Ia satu kegembiraan memandu kereta seperti ini,” kata Verstappen.

“Dan ia dipamerkan sekali lagi hari  ini. Kami mempunyai strategi tayar yang berbeza hari ini dan apa yang pasti saya mempunyai strategi yang betul! Dan untuk menang di sini adalah hebat sekali.”

Tempat kedua buat Hamilton memberikannya podium ke-11 di Sepanyol, di mana dia muncul juara enam kali.

“Wow, keputusan dan penonton yang hebat,” kata Hamilton. “Dan saya tidak menjangkakannya, jadi pujian kepada pasukan dan kilang kami kerana berusaha keras supaya dapat merapatkan saingan dengan Red Bull. Kami mengejar mereka – dan George juga melakukan tugas yang hebat hari ini.”

Russell berkata dia terkejut untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas bermula di petak ke-12. “Pujian kepada pasukan,” katanya. “Saya mempunyai kereta yang hebat hari ini.”

Rakan sepasukan Verstappen di Red Bull, Sergio Perez, berjaya menduduki tempat keempat selepas bermula di petak ke-11, di hadapan pemandu tuan rumah dari pasukan Ferrari, Carlos Sainz, Lance Stroll dan Fernando Alonso dari pasukan Aston Martin.

Alonso gagal mengekalkan rentak cemerlang menaiki podium sejak dari perlumbaan pertama.

Perlumbaan bermula dalam cuaca panas dengan suhu udara 25 darjah Selsius dan suhu litar pada 42 darjah Selsius tetapi kepulan awan mengundang cabaran dengan risiko hujan turun sekitar 40 peratus.

Verstappen bermula dengan baik dan menangani cabaran Sainz ketika memasuki selekoh pertama sebelum Hamilton berlanggar sedikit dengan Lando Norris di selekoh kedua, menyebabkan pemandu McLaren itu mengalami kerosakan pada muncung hadapan keretanya dan terpaksa melakukan hentian pit awal untuk menukar muncung hadapan.

Russell juga terbabas sedikit dari litar di pusingan pertama tetapi dia tidak dihukum walaupun memperolehi kelebihan lima tempat dari permulaan perlumbaan.

Verstappen meningkatkan pecutan dan menjelang pusingan ke-11, dia sudah mendahului Sainz dengan kelebihan 5.3 saat dengan Hamilton berjaya memintas Stroll di pusingan kelapan untuk berada di belakang Sainz.

Tiada banyak yang berubah selepas itu tetapi dua pemandu Mercedes paling mencuri perhatian apabila berjaya berada di tiga kedudukan teratas buat kali pertama musim ini.

Verstappen mengadu mempunyai masalah dengan  keretanya pada akhir perlumbaan tetapi dengan kelebihan 16 saat di hadapan Hamilton, dia tetap mengekalkan rentak untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama. — AFP

Advertisement