Anda di sini

Tiga lelaki mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah

Advertisement
Ketiga-tiga tertuduh diiring polis semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
Ketiga-tiga tertuduh diiring polis semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Dua sekawan masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan sementara seorang lagi didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah pada Januari 2022.

Hakim Afidah Abdul Rahman memerintahkan Abdul Majid Ali, 29, untuk dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda, selain memerintahkan hukuman penjara bagi Zulhamizan Roselan, 27, dan Salehan Rebie, 29, untuk dikuatkuasakan dari tarikh mereka ditangkap.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, tiga sekawan itu didakwa menceroboh masuk rumah seorang pengadu lelaki berusia 28 tahun di Jalan Tanjung Embang Matang FAC, Matang di sini tanpa kebenaran dengan niat untuk mencuri pada 30 Januari 2022, sekitar jam 3.30 pagi.

Fakta kes mendedahkan pengadu bersama saudaranya melihat sebuah kereta kompak mencurigakan dinaiki ketiga-tiga tertuduh masuk ke kawasan rumah pengadu yang masih dalam proses pembinaan.

Susulan itu, pengadu bersama beberapa orang saudaranya bertindak menahan kesemua tertuduh dan menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Semasa tangkapan dibuat pada hari sama juga (30 Januari 2022), polis turut merampas sebilah sabit yang diletakkan di dalam kereta dinaiki mereka.

Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh juga didapati memiliki senjata berbahaya di tempat awam tanpa maksud sah dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Abdul Majid, Zulhamizan dan Salehan masing-masing mengaku bersalah sebaik didakwa di mahkamah sama semalam dan Hakim Afidah memerintahkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (CPC). 

Afidah juga mengarahkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan bon untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini dengan RM10,000 (tidak didepositkan) berserta dua orang penjamin tempatan yang mempunyai pendapatan dan alamat tetap.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim.

  • oleh
  • Advertisement