Anda di sini

SUPP Cawangan Simanggang menganjurkan majlis ulang tahun, Gawai 

Advertisement
Harden (tengah) bersama ahli SUPP yang lain disambut dengan persembahan gendang pampat semasa berlangsungnya majlis berkenaan malam kelmarin.
Harden (tengah) bersama ahli SUPP yang lain disambut dengan persembahan gendang pampat semasa berlangsungnya majlis berkenaan.

SRI AMAN: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang telah menganjurkan Majlis Sambutan Ulang Tahun SUPP Ke-64 serta Sambutan Hari Gawai Dayak di Dewan Suarah Sri Aman di sini malam tadi.

Kedua-dua majlis berkenaan telah dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang serta Pengerusi SUPP CawanganSimanggang Datuk Francis Harden Hollis.

Kira-kira 1,000 tetamu termasuk ahli SUPP, ketua jabatan, ketua masyarakat kaum Iban, Cina dan Melayu hadir memeriahkan majlis tersebut.

Pengerusi pengelola majlis Denneil Saweng melahirkan rasa teruja atas kehadiran tetamu yang mencerminkan sambutan baik masyarakat terhadap penganjuran majlis tersebut. 

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama itu harus dikekalkan agar segala kerjasama dapat diteruskan. 

Menurutnya, majlis tersebut merupakan platform untuk merapatkan perhubungan dan mengukuhkan penguasaan serta memberi peluang kembali ke pangkuan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Berucap pada majlis berkenaan, Harden menerangkan bahawa sambutan Ulang Tahun SUPP Ke-64 adalah untuk memperingati hari bersejarah SUPP yang ditubuhkan pada 4 Jun 1959 sebagai parti yang kini masih relevan bersama komponen kerajaan GPS dan meraikan kesyukuran perayaan Gawai Dayak 2023.

"Terima kasih kepada semua tetamu yang datang menyokong program dengan membeli meja dan turut bersama merayakan majlis sambutan dua dalam satu. Ini “Ini merupakan platform untuk kita bersama menikmati suasana meriah di samping merapatkan ikatan persaudaraan.

“Terima kasih juga dipanjangkan kepada para penyumbang yang bermurah hati menyumbang dalam bentuk kewangan, barangan dan tenaga terutama kerja keras ahli jawatankuasa sambutan memastikan majlis berjalan lancar dan berjaya,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan ResidenBahagian Sri Aman Elvis Didit, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman Michealson Nyisin, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman Ahmad Noorkamal Abdul Malek, Wali Kota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Anthony Abell Chendan, Setiausaha MDSA Tay Guan Huat, Penolong Jurutera JKR Bahagian Sri Aman Belgalmano Low, Penolong Setiausaha MDSA Hiu Kee Sing, Penasihat SUPP Cawangan Simanggang Datuk Tan Chong Meng, Ketua Masyarakat Kaum Cina Bahagian Sri Aman Temenggung Kueh Aik Seng, Ketua Masyarakat Kaum Cina Daerah Sri Aman Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn, Penghulu Kang Tai Kong, Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Leonard Libau Anol dan Penghulu Lee Thong Sen.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan upacara menaikkan bendera parti, memotong kek, persembahan kebudayaan kaum Iban, Melayu dan Cina, persembahan penyanyi Iban jemputan, cabutan bertuah dan kemuncak pengisian majlis ialah ‘ngirup ai pengayu’.

Advertisement