Anda di sini

Sunway Group berminat bangunkan semula Bukit Assek

Advertisement
 Muhammad Abdullah (duduk empat kiri) bersama (dari kiri) Ting, Tan, Tiang dan Chieng (kanan) pada sidang media di Sibu, hari ini.
Muhammad Abdullah (duduk empat kiri) bersama (dari kiri) Ting, Tan, Tiang dan Chieng (kanan) pada sidang media di Sibu, hari ini.

SIBU: Syarikat konglomerat Sunway Group telah menunjukkan minatnya untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi meneroka potensi membangunkan semula Bukit Assek yang berkeluasan 479 ekar.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, sudah menjadi hasrat Kerajaan Sarawak untuk mengkehendaki pihak swasta bersama-sama memajukan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

"Di bawah Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030), kita mengkehendaki pihak swasta bersama-sama membangun negeri, di mana ekonomi Sarawak dimajukan oleh pihak swasta.

"Ini adalah salah satu contoh di mana pihak swasta iaitu syarikat Sunway Group menunjukkan minat untuk bersama-sama membangunkan Bukit Assek yang selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak.

"Jadi, peranan kerajaan adalah untuk menjadi fasilitator atau memudah cara usaha-usaha pembangunan (semula Bukit Assek) ini, di mana kita merasakan pelaburan daripada pihak swasta adalah lebih mampan.

"Pihak kerajaan cuma hanya akan membantu dari segi kemudahan asas dan sebagainya.

"Itulah kebaikan, di mana terdapat kerjasama di antara pihak swasta dan kerajaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan taklimat mengenai Projek Pembangunan Semula Bukit Assek di Wisma Sanyan di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Abdullah, keseluruhan pelan induk Projek Pembangunan Semula Bukit Assek akan disiapkan menjelang Julai tahun depan dengan peringkat pertama pelan itu dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata, pembangunan semula Bukit Assek adalah projek jangka panjang dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk rakyat terutama penduduk Sibu.

"Seperti yang kita sedia maklum, Bukit Assek dengan keluasan 497 ekar merupakan kawasan uzur yang tidak kondusif untuk kediaman berikutan masalah air bertakung dan sosial.
  
"Oleh itu adalah menjadi hasrat kerajaan untuk membangunkan semula Bukit Assek untuk menjadi bahagian Sibu yang lebih moden dan bertenaga dan diharapkan menjadi contoh kepada bahagian lain pembangunan semula Sarawak.

"Jadi, kita perlu sabar dan bersama kerajaan untuk melihat dengan mata sendiri usaha Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat Sibu di kawasan sekitarnya dan Sarawak amnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan Pejabat Pengerusi Kumpulan Sunway Dato Tan Kia Loke melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menjemput mereka menyertai projek pembangunan itu.

"Ini adalah projek yang sangat mencabar.

"Setelah melawat tapak, saya mesti mengatakan bahawa masalahnya ialah penyelesaian teknikal dan kejuruteraan adalah salah satu kunci untuk membangunkan semula kawasan itu kepada keadaan yang kondusif dan boleh didiami pada masa akan datang.

"Ini bukan projek yang akan mengambil masa lima hingga 10 tahun.

"Ia adalah projek jangka panjang bukan sahaja untuk menyediakan perumahan yang sesuai, kawasan komersial tetapi juga pengurusan tadahan air.

"Saya fikir ini adalah kunci kejayaan keseluruhan projek itu," katanya.

Wakil firma perunding Ramboll Christian Nyerup Nielsen pula berkata, Ramboll berusaha menyediakan kepada masyarakat di mana penduduk dan orang asli berkembang.

"Kami amat berharap pembangunan baharu ini bukan sahaja mampan tetapi juga menjana sumbangan kepada masyarakat setempat dan seluruh wilayah di sini.

"Kami sebenarnya melihat potensi untuk itu, jadi ia bukan sahaja bersifat positif dan iklim tetapi juga positif sosial," katanya.

Turut hadir pada sidang media ialah ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, Residen Sibu Wong Hee Sieng dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Datu Monaliza Zaidel.

Advertisement