Anda di sini

Sudah setahun Edward nyatakan hasrat mahu mandi sungai: Sepupu

Advertisement
Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai kanak-kanak berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Bernam berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Sabtu lepas, ditemukan tengah hari tadi. - Gambar Bernama
Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai kanak-kanak berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Bernam berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Sabtu lepas, ditemukan tengah hari tadi. - Gambar Bernama

TANJUNG MALIM: Kanak-kanak berusia lapan tahun, Edward Grang Jenggut yang ditemukan lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat sudah setahun menyatakan hasratnya untuk mandi di sungai kepada ibu dan bapanya.

Sepupu mangsa Martinus Tanjong, 33, berkata bapa Edward memberitahunya bahawa anaknya teringin mandi-manda di sungai jadi mereka mengambil peluang cuti sekolah untuk beriadah bersama keluarga besarnya.

“Kami telah sampai ke sini pada Jumaat lepas tapi kami ambil keputusan untuk mandi di sungai pada keesokkannya. Ketika kejadian tersebut kira-kira pukul 4 petang, saya dan Edward (mangsa) mandi bersama-sama tapi saya dalam kedudukan berpaling darinya. 

Apabila toleh ke belakang, mangsa telah hilang tanpa dengar jeritan atau percikan air seperti meminta tolong walaupun ketika itu banyak orang awam yang turut mandi di kawasan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pos kawalan pasukan penyelamat di sini hari ini.

Martinus berkata dia mencari mangsa di sekitar kawasan itu namun tiada sahutan dan terus memberitahu kepada bapanya.

“Kami terus menelefon bomba untuk dapatkan bantuan dan kami bersyukur kerana mangsa telah ditemui pada hari ini,” katanya.

Martinus menyifatkan mangsa sebagai seorang yang baik dan sentiasa mendengar kata.

Katanya, mereka sering bermandi-manda di sungai ini kerana airnya yang jernih dan paras air yang tidak tinggi.

“Kami sudah datang ke sini kira-kira tiga kali, tapi kami selalu mandi di belah atas dan ingin mencuba menukar angin mandi di sebelah bawah,” katanya.

Sementara itu, keluarga dan waris mangsa yang hilang sejak Sabtu dibenarkan berkumpul di lokasi kejadian sejak empat hari lepas dan diberi sumbangan makanan serta minuman oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, mayat Edrward ditemukan di Sungai Bernam 7.3 kilometer dari lokasi kejadian tersangkut pada kayu oleh seekor anjing pengesan dalam misi SAR kira-kira pukul 12.35 tengah hari tadi.

Pengecaman mayat dilakukan ibu bapa mangsa di Hospital Slim River. - Bernama 

Advertisement