
KUCHING: Special Olympics (SO) Sarawak menyasarkan untuk menyumbang masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa kepada kontijen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin, Jerman.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kontijen SO Malaysia menyasarkan tiga emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya yang berlangsung dari 17 hingga 25 Jun itu.
"Daripada jumlah itu untuk Sarawak kita menyasarkan untuk menyumbang satu emas, satu perak dan satu gangsa.
"Sukan SO ini merupakan satu peluang kepada atlet berkeperluan khas kita menyertai sukan bertaraf dunia.
"Ini cara kita memberi peluang kepada anak-anak berkeperluan khas yang mempunyai potensi dan minat dalam bidang sukan selain memperkasakan mereka dalam bidang sukan," katanya yang juga pengerusi SO Sarawak.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada atlet Olimpik Khas yang akan ke Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin di pejabatnya di sini, hari ini.
Fatimah berkata atlet dari Sarawak akan berangkat ke Kuala Lumpur pada 9 Jun sebelum berlepas ke Berlin pada 12 Jun.
Katanya SO Sarawak berbesar hati mewakili SO Malaysia menerusi atletnya, iaitu Mohd Zul Adly Majeni (SO Kuching ), Agnes Tiong Hui Sing (SO Sibu) dan Sheena Ung Xin Ying (SO Miri) akan mewakili SO Malaysia di Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 dalam kategori tenpin boling, pingpong dan renang.
"Kita amat berbangga dengan Mohd Zul dan dedikasi yang telah beliau tunjukkan kepada sukannya (tenpin boling).
“Semangat, kerja keras dan sikap positif beliau adalah inspirasi kepada kita semua.
"Kami berbesar hati kerana beliau mewakili Olimpik Khas Cawangan Kuching di Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 dan percaya beliau akan memberikan usaha terbaiknya dalam pertandingan itu," katanya.
Menurut Fatimah, Mohd Zul telah berdepan dengan cabaran yang berkaitan dengan kecacatan inteleknya, termasuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, menguruskan tekanan dan kebimbangan serta berkomunikasi dengan jurulatih dan rakan sepasukan.
Tambah beliau di sebalik cabaran itu, Mohd Zul telah menunjukkan komitmen yang kuat terhadap sukannya dan keazaman untuk berjaya dan berharap untuk membawa pulang pingat emas sekurang-kurangnya dalam satu daripada tiga perlawanannya.
Sarawak turut menghantar atlet dari SO Sibu untuk mengambil bahagian dalam pingpong, iaitu Agnes Tiong Hui Sing bersama jurulatih Mary Chung Siew Yieng.
Selain itu Sarawak turut menghantar atlet dari SO Miri untuk mengambil bahagian dalam sukan renang iaitu Sheena Ung Xin Ying bersama jurulatih Geraldine Lasak Ding.